TANAH MERAH: Kerajaan Kelantan mendakwa Kerajaan Persekutuan hari ini hanya sekadar menabur janji apabila pihaknya belum menerima sebarang peruntukan sebagaimana diumumkan sebelumnya.
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya melihat perkara tersebut hanyalah bersifat pengumuman semata-mata.
“Kerajaan (Persekutuan) hari ini maghi (datang) janji macam-macam…tapi pitis (duit) tak sampai. Ghoyak (bagitahu) sini RM500 juta, sini RM1 bilion…tapi sampai ke tidak.
“Tok (tidak) sampai lagi, pasal ghoyak (cakap) sahaja. Ambo (saya) boleh isytihar hari ini kalau nak, kita nak buat gertak (jambatan) dari Tanah Merah sampai ke Putrajaya macam mana, laksana atau tidak belum tahu,” katanya semasa berceramah pada Majlis Pelancaran Manifesto Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bertajuk ‘Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera’ di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah di sini sebentar tadi.
Mohd Amar memberitahu, kehebatan sesebuah kerajaan bukan diukur kepada kejayaan melaksanakan projek pembangunan fizikal sebaliknya bebas daripada amalan rasuah.
Katanya, kejayaan pentadbiran Pas mengekalkan rekod bersih rasuah di Kelantan selama 33 tahun ada pencapaian terbaik kerana ia bukanlah tempoh jangka masa pendek.
“Kalau belajar sains politik, kerajaan hebat bukan pada pembangunan fizikal, sebaliknya bersih daripada rasuah.
“Alhamdulillah, jika boleh capai tahap ini disebabkan oleh dasar Islam. Sebab itu kerajaan yang ada pada hari ini perlu dipertahankan,” ujarnya.-UTUSAN