KUANTAN: Kerajaan Pahang menjunjung titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu agensi penguatkuasaan bertindak tegas dalam usaha memastikan alam sekitar, flora dan fauna negeri ini sentiasa terjaga.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, titah baginda juga senada dengan polisi kerajaan negeri pada ketika ini yang tidak lagi mengeluarkan kompaun terhadap pihak yang menjalankan kegiatan penerokaan secara haram.
“Sebelum ini pun saya sudah membuat penegasan bahawasanya kita tidak akan ada kompaun lagi, kita akan terus bawa ke mahkamah. Sebab, bayangkan dalam masa 10 hari ada tiga kes pencerobohan haram dan mereka seolah-olah tidak takut dengan kompaun ini.
“Jadi, saya dah bangkitkan perkara ini dalam mesyuarat exco dan minta pandangan penasihat undang-undang negeri dan jika ada lagi seperti ini, terus bawa ke mahkamah.
“(Tindakan) ini bukan nak mengaibkan mereka, tetapi bertujuan memberi pengajaran kepada orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pahang International Scouts Scarf Day 2023 di sini hari ini.
Semalam, Tengku Hassanal ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Bersempena Memuliakan Hari Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan bertitah supaya agensi penguatkuasaan bertindak tegas dalam usaha memastikan alam sekitar, flora dan fauna negeri ini sentiasa terjaga.
Pemangku Raja Pahang turut mengingatkan kepada agensi penguatkuasaan agar tidak mengambil rasuah dan sentiasa menjaga integriti.
“Jalankan penguatkuasaan dengan bersungguh-sungguh. Saya ada bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan semua. Jangan risau.
“Jika ada yang jual nama, sembahkan kepada saya. Tiada yang kebal undang-undang. Yang salah tetap salah tidak kira kerabat, orang politik mahupun rakyat jelata,” titah baginda.
Dalam pada itu, Wan Rosdy juga menyembah maklum titah Tengku Hassanal supaya semua pihak tidak memainkan isu 3R, agama, raja dan kaum sehingga boleh menjejaskan kemakmuran di negeri ini.
“(Negara) kita masyarakat majmuk, berbagai kaum, ras dan etnik, dan sepatutnya kita kena berusaha memupuk satu negara bangsa.
“Adalah sangat tidak wajar mana-mana pemimpin membangkitkan isu perkauman, agama kerana ini akan melebarkan lagi jurang antara kita. Kita patut hentikan bercakap pasal isu 3R ini dan fokus kepada usaha membentuk negara kita,” katanya. – UTUSAN