SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyambut baik panduan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan unsur nadir bumi (REE) sekali gus mendapat manfaat daripada hasil mineral tersebut.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri memang menunggu garis panduan itu dikeluarkan sebelum memberikan kebenaran ia dilombong di negeri ini.
“Kami menyambut baik, memang kerajaan negeri sedang menunggu sebelum membenarkan REE di lombong di Negeri Sembilan kerana kami juga mempunyai potensi besar dalam bidang REE ini, ” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini hari ini.
Pada 28 Ogos lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan garis panduan dan SOP berkaitan REE akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, jawatankuasa berkaitan mineral yang dipengerusikannya di bawah Majlis Mineral Negara akan dipanggil untuk berbincang mengenai perkara itu selepas pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri selesai.
Dalam pada itu, Aminuddin menjelaskan, dengan adanya SOP itu dapat mengatasi masalah kecurian berkaitan REE.
“Pastinya itulah kita harapkan dan mereka juga mempunyai kawasan yang boleh dilombong mendapat manfaat dengan adanya SOP yang ada ini,” katanya.-UTUSAN.