TAMPIN: Tanggungjawab membantu warga Felda mampu dilaksanakan dengan lebih baik sekiranya kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dapat bergerak sehaluan.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, hal ini kerana Felda memerlukan sokongan kerajaan manakala kerajaan negeri pula mempunyai hak ke atas tanah-tanah Felda.
“Saya selalu sebut hubungan Felda ni ada tiga iaitu peneroka, felda dan kerajaan. Peneroka tanpa kerajaan dia akan runtuh, semuanya akan berada dalam keadaan bermasalah.
“Felda memerlukan sokongan kerajaan, Felda bukannya seperti syarikat-syarikat perladangan yang hanya melihat untung rugi. Dia (syarikat) tidak fikir pasal sekolah, tidak fikir pasal jalan, masyarakat tetapi Felda perlu melihat menyeluruh dan ia memerlukan sokongan kerajaan, bukan sahaja kerajaan Pusat ia mesti juga mendapat sokongan kerajaan Negeri.
“Kerajaan Pusat sudah ditentukan, itu tak boleh kita ubah sekarang, jadi kita mahukan kerajaan negeri yang seiring dengan kerajaan Pusat. Ini amat penting bagi membantu seluruh warga Felda itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sempena Program Sepetang Bersama Pengerusi Felda di Dewan Semai Bakti Felda Jelai 3, di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (Pergetah), Mohd. Taufik Yaacob bahawa 18,000 daripada 28,528 penoreh getah seluruh negara memilih ‘bercuti’ untuk mencari pekerjaan lain lebih menguntungkan, Ahmad Shabery berkata, perkara itu di bawah penelitian pihaknya serta berkaitan.
Menurut beliau, pihaknya sudah pun berbincang dengan pengurusan tertinggi memandangkan ia memerlukan pendekatan komprehensif bukan sahaja getah dalam Felda tetapi secara keseluruhannya.
“Apakah industri ini industri yang benar-benar kita perlu pertahankan? kalau mahu pertahankan apakah faktor sokongan lain supaya mereka yang terlibat dalam industri ini tidak berada di bawah kemiskinan tegar?,” katanya.-UTUSAN.