Keputusan UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu tepat -Nur

Keputusan UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu tepat -Nur Jazlan

Nur Jazlan Mohamed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah tindakan tepat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, hal itu kerana kepemimpinan tertinggi Bersatu dipenuhi individu-individu yang bersifat khianat dan mementingkan peribadi.

Menurut beliau, antara individu tersebut termasuk Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Keputusan Presiden UMNO menolak kerjasama politik dengan Bersatu adalah tindakan yang tepat dan bijak kerana ada individu seperti Hamzah dan Muhyiddin ada keperluan untuk memenuhi keinginan peribadi sendiri. 

“Ketika bersama-sama berperang dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah dulu, secara senyap-senyap Bersatu letak calon mereka untuk layan calon UMNO. Bila Bersatu serahkan kerusi Perdana Menteri kepada UMNO, mereka masih cuba mengawal kuasa dalam pentadbiran negara dengan macam-macam ugutan kononnya nak tarik sokongan sehingga membuatkan Perdana Menteri ke-9 (Datuk Seri Ismail Sabri) tersepit.

“Mereka jugalah yang menjadi ‘pembisik jahat’ ke telinga pemimpin Pas supaya mengkhianati UMNO dalam Muafakat Nasional. Mereka didakwa guna kuasa duit untuk beli kesetiaan ‘lebai-lebai’ Pas dalam kerjasama politik dengan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Nur Jazlan yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Pulai turut memberitahu, kepimpinan Pas mudah digoda dengan insentif kewangan dalam jumlah besar daripada individu-individu di dalam Bersatu.

“Perkara itu menyebabkan walaupun Pas merupakan sebuah parti politik yang besar, namun terus kekal di kedudukan lama kerana dipimpin sekumpulan individu yang kurang cerdik.

“Walhal sudah sekian lama golongan profesional dan cendekiawan masuk dalam Pas, namun alangkah malangnya apabila mereka hanya dijadikan barang hiasan dalam Pas saja. Golongan cerdik pandai ini susah untuk dinaikkan dan disanjung dalam parti itu kerana mereka disekat oleh puak-puak yang kurang cerdik,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN