Kenyataan Facebook peguam tidak tepat, mengelirukan

Kenyataan Facebook peguam tidak tepat, mengelirukan -badan kehakiman

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Badan kehakiman menyifatkan seorang pemilik akaun Facebook membuat hantaran mengelirukan berhubung status kes seorang peguam dan anaknya yang mencabar keabsahan sistem perundangan syariah Kelantan.

Pemilik akaun itu, Lukman Sherif membuat hantaran tidak tepat apabila menyatakan Sisters In Islam (SIS) memperoleh status sahabat mahkamah (amicus curiae) walhal dua lagi organisasi hanya dibenar menjadi peguam pemerhati dalam prosiding yang kini di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Hantaran itu turut menyatakan, status tersebut membolehkan SIS berhujah dan memberi pandangan dalam prosiding melibatkan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman dalam satu kenyataan di sini sebaliknya menjelaskan, selain SIS, terdapat dua pihak lagi turut dibenar menjadi sahabat mahkamah dalam kes itu.

Kedua-dua pihak itu ialah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menurut kenyataan itu, lima pihak lagi dibenar bertindak sebagai peguam pemerhati dalam prosiding tersebut.

Pihak-pihak itu ialah Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis serta Badan Peguam Malaysia.

“Pejabat ini mengambil serius tindakan pihak-pihak tertentu yang mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan orang awam dan meminta orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi laporan atau posting yang tidak tepat di media sosial,” ujar kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, hantaran pemilik akaun itu antaranya membawa maksud bahawa Persatuan Peguam Muslim Malaysia dan Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan sekadar peguam pemerhati dan tidak berpeluang berhujah.

Kenyataan itu selanjutnya menjelaskan, SIS membuat permohonan untuk bertindak selaku sahabat mahkamah pada 20 April lalu, permohonan Persatuan Peguam Muslim Malaysia dibuat pada 4 Ogos 2023 manakala Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan pada 7 Ogos lalu.

Prosiding kes Nik Elin Zurina yang dijadualkan didengar di Mahkamah Persekutuan pada Khamis depan, tular di media sosial kerana dikatakan menggugat struktur asas perundangan.

Mahkamah tertinggi negara akan memutuskan sama ada kesalahan-kesalahan yang diwujudkan di dalam undang-undang syariah oleh badan perundangan negeri bertentangan atau selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut laporan sebuah portal berita, peguam kelahiran Kelantan dan anaknya mengemukakan cabaran keperlembagaan berhubung 21 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1).

Nik Elin Zurina dan anaknya mendakwa 21 peruntukan berkenaan adalah tidak sah kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Kedua-duanya berpendirian, kuasa untuk menggubal undang-undang melibatkan perkara jenayah adalah di bawah bidang kuasa Parlimen.

Justeru, mereka menggesa pihak mahkamah mengisytiharkan peruntukan terbabit batal dan tidak sah.

Ujar kedua-duanya, 21 peruntukan yang dicabar itu antaranya di bawah Seksyen 5 (dakwaan palsu), Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual). -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya