JELEBU: Perikatan Nasional (PN) mendakwa kenaikan kadar subsidi harga padi yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan perjuangan yang dibawa oleh Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Muslimin yang telah membawa isu tersebut dalam sidang Parlimen sebelum ini.
“Alhamdulillah, kita patut bersyukur kerana Anwar sudah umumkan, saya mahu maklumkan perjuangan ini dibawa oleh kita (PN) dalam Parlimen melalui Muslimin dan beliau yang mengutarakan isu ini.
“Apabila dapat, itu adalah perjuangan kita (PN). Masa dia tidak sesuai, pada saya tidak mengapa kerana kita mahu membantu petani.
“Mereka (petani) pun tahu siapa yang mereka mahu undi sebab perjuangan datang daripada kita, tidak semestinya dia umum dia dapat undi tapi yang penting pada kita, perjuangan itu telah pun dimakbulkan oleh Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Santai Anak Muda di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Jelebu di Kuala Klawang di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Bersatu Bahagian Jelebu, Tan Sri Dr. Rais Yatim.
Semalam, kerajaan mengumumkan kenaikan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan metrik kepada RM500 per tan metrik.
Perdana Menteri berkata, dengan langkah itu bermakna pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per tan metrik dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan golongan itu.
Sementara itu, Hamzah memberitahu, PN menjangkakan akan memenangi lima daripada enam buah negeri yang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika ini.
“Anda pun tahu boleh rasa negeri yang mana yang kita patut menang. Saya rasa anda semua tahu kecuali Pulau Pinang.
“Saya bercakap terus terang, ia agak sukar tapi kita akan bekerja keras di Pulau Pinang. Insya-Allah, saya gunakan ayat menembusi negeri Pulau Pinang, ini yang kita sedang cuba yang terbaik.
“Untuk semasa, lima negeri, tapi berkemungkinan dalam tempoh dua hari lagi, Insya-Allah kita boleh dapat Pulau Pinang sekali, kalau kita boleh dapat Pulau Pinang, akan jadi 6-0,” katanya.-UTUSAN.