KUANTAN: Sebanyak 100 unit Alat Pemadam Api (APA) akan diberikan secara percuma kepada pemilik kenderaan di sekitar daerah ini untuk memberi kesedaran aspek keselamatan kebakaran kenderaan.
Pengagihan tersebut menerusi program ‘1kereta 1alat pemadam api’ anjuran pembekal perkhidmatan produk APA, Fire Fighter Solution.
Pengarah Eksekutif Fire Fighter Solution, Muhammad Nur Zharif Zamree berkata, di negara ini, tidak semua penjual membekalkan produk APA dalam kenderaan.
Namun, katanya, sering kali terjadi kebakaran kereta yang boleh disebabkan oleh pelbagai punca yang tidak pernah terlintas dalam fikiran pengguna di jalan raya.
“Jadi, sasaran edaran 100 unit APA ini kita laksanakan supaya dapat memupuk kesedaran awam tentang pencegahan kebakaran ketika berlakunya kemalangan jalan raya.
“Produk yang dibekalkan ini diluluskan SIRIM Berhad (SIRIM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), tiada toksik dan lebih penting mesra alam.
“Kempen ‘1kereta, 1alat pemadam api’ sebagai langkah persediaan mencegah kebakaran apabila berlaku kemalangan jalan raya yang mungkin akan meragut nyawa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Nur Zharif berkata, kebakaran kereta dapat merebak dengan cepat sehingga ke tempat menyimpan wayar petrol dan elektrik.
Katanya, jika api sampai ke tempat yang menyimpan sejumlah besar petrol, ada kemungkinan besar ini akan menyebabkan letupan, kerana petrol cukup mudah terbakar.
“Pengguna perlu ada APA dalam kenderaan, ia bukan sahaja persediaan untuk memadamkan kebakaran jika berlaku pada kenderaan sendiri tetapi boleh membantu orang lain di jalan raya.
“Kebanyakan kebakaran kereta bermula kecil dan secara amnya disebabkan masalah elektrik atau mekanikal. Jika segera menggunakan APA, ia boleh mengelakkan kemalangan yang lebih serius dan berpotensi membawa maut,” katanya.
Beliau berkata, sesiapa sahaja boleh menggunakan APA untuk memadamkan api supaya tidak perlu menunggu sehingga ia merebak baharu hendak menggunakan alat ini atau mengharapkan bomba semata-mata.
“APA boleh diletakkan dalam kereta dan ini ramai pengguna tidak tahu. Terdapat alat pemadam api yang sesuai dan terpilih iaitu jenis yang boleh diletakkan dalam kenderaan sebagai langkah keselamatan awal bagi mencegah kebakaran kecil.
“Saiz paling sesuai untuk kereta ialah satu kilogram jenis Debu Kering ABC mudah digunakan, mengalir dan kering yang dapat memadamkan api pertama dengan berkesan.
“Saiz ini sudah mencukupi kerana selalunya kita sudah nampak api ketika ia belum mulai marak. APA bersaiz satu kilogram boleh tahan selama 10 tahun mengikut piawaian syarikat pembuat. Selepas digunakan, ia boleh dihantar untuk servis dan isian semula,” katanya.
Menurut statistik kebakaran kenderaan bermotor oleh JBPM pada 2018, terdapat sebanyak 2,834 kes kebakaran kenderaan direkodkan melibatkan semua jenis pengangkutan darat dengan 1,724 daripada jumlah keseluruhan kes melibatkan kes kereta terbakar. – UTUSAN