KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melaksanakan Program Kembara Prihatin@Semporna bagi menyantuni penduduk negeri di bawah bayu itu di Pulau Bum-Bum khususnya di Kampung Balimbang, Berjasa, Sama-Sama dan Berjaya.
Program anjuran Yayasan UMP selama 11 hari berakhir 2 Ogos lalu ini berjaya menjalankan pelbagai aktiviti dan inisiatif yang bertujuan membantu dan meringankan beban komuniti di kawasan terbabit.
Melalui kluster teknologi, khidmat komuniti, pendidikan, kerohanian, dan kepimpinan, program ini memberikan impak besar kepada kehidupan seharian penduduk di situ misalnya gotong-royong Hari Lestari yang mengumpulkan 2,916 kilogram sampah sekitar Pulau Bum-Bum.
Turut diadakan program hala tuju pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Projek STEAM dan Street Science, aktiviti pembelajaran luar bilik darjah dan Program Motivasi INSPIRE bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bum-Bum.
Program lain adalah Sembang Pemimpin Muda ke arah kemajuan negara, Tuisyen Komuniti bersama murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balimbang dan Bantuan Pendidikan Kalkulator Saintifik dan Pek persekolahan di SMK Bum-Bum yang disampaikan Pengarah UMPSA, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga Pengerusi Yayasan UMP.
Selain itu, penganjuran program ini berjaya memberikan manfaat kepada masyarakat seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti peningkatan pendidikan,
kebersihan dan kesihatan, serta pembangunan komuniti yang lestari.
Abdul Aziz berkata, Program Kembara Prihatin ini bukan sahaja memberi bantuan, tetapi juga membina hubungan erat dengan ahli komuniti dan sukarelawan yang terlibat.
“Kegigihan dan semangat gotong-royong sukarelawan membawa kita lebih dekat dengan hati masyarakat Sabah Khususnya di Semporna ini demi mencapai kehidupan yang lebih baik untuk semua seperti peningkatan pendidikan, kebersihan dan kesihatan, serta pembangunan komuniti yang lestari,” katanya.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, di samping menyantuni dan membawa penjenamaan baharu universiti itu, program itu memberikan banyak pengalaman dan pelbagai cara hidup baharu diterokai.
“Ia juga selari hasrat mendekatkan universiti kepada komuniti dan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ agar kewujudan UMPSA dirasai dan manfaat kepakaran dinikmati penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata, perkongsian budaya akan mendidik pemikiran pelajar lebih terbuka, mempunyai sifat toleransi yang tinggi, berusaha untuk saling memahami seta menghormati walaupun terdapat perbezaan amalan, kepercayaan, identiti dan juga nilai kehidupan.
Pada program itu, UMPSA turut menyumbang 10 tong air untuk kegunaan komuniti di Pulau Bum-Bum dan Pulau Mabul.
Bukan sekadar menyalurkan bantuan keperluan harian, malah sukarelawan UMPSA berpeluang bertemu dengan anak-anak di Madrasah Terapung yang dikendalikan Muslim Care Malaysia (Muslim Care). – UTUSAN