Kembara Mahkota Johor 2023: TMJ tertarik permainan jong

Kembara Mahkota Johor 2023: TMJ tertarik permainan jong

TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM melihat reka bentuk dan mendengar penerangan tentang permainan jong semasa konvoi KMJ 2023 singgah di Taman Rekreasi Rambah, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Permainan tradisi rakyat dan pelbagai aktiviti menarik mengakhiri program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 yang berlangsung selama empat hari bermula 5 Ogos lalu.

Antara yang menarik perhatian ialah permainan jong yang digemari kerabat Kesultanan Johor-Riau serta golongan nelayan suatu masa dahulu.

Hingga kini permainan tersebut masih popular dalam kalangan nelayan yang tinggal di Tanjung Piai, Pontian dan Tanjung Surat, Kota Tinggi.

Sempena KMJ 2023, rombongan diraja tersebut turut diperkenalkan dengan permainan tradisi tersebut.

Pengerusi Kelab Jong Pontian, Mohd. Tahir Abdul Hamid berhasrat untuk mempopularkan semula permainan berkenaan dan pihaknya bersama Pejabat Daerah Pontian mahu memperkenalkannya kepada umum sempena KMJ 2023 yang singgah di daerah Pontian.

“Sebenarnya suatu ketika dahulu, permainan jong ini merupakan ‘trademark’ untuk Kerajaan Johor-Riau. Ramai anak raja akan datang ke kawasan pantai di Johor (kini Pontian dan Kota Tinggi) untuk bermain permainan jong ini.

“Dalam usaha kita untuk memperkenalkan dan mempopularkannya semula, kita akan menjadikan 16 September sebagai aktiviti tahunan permainan yang dibuat daripada kayu pulai yang akan kita mulakannya pada tahun ini,” katanya di Taman Rekreasi Rambah, Pontian, dekat sini.

Lebih menggembirakan pihaknya apabila Tunku Ismail turut berkenan menempah sebuah jong serta berhasrat untuk mempelajari permainan itu.

“Saya akan membuat jong yang ditempah oleh Tunku Ismail itu dengan sebaik-baiknya. Yang paling utama mesti mempunyai warna merah dan biru serta ada perkataan dan logo JDT,” katanya.

Konvoi KMJ 2023 turut disertai oleh isteri TMJ, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan suaminya Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Selepas singgah di Taman Rekreasi Rambah, konvoi KMJ 2023 sebelum menuju ke Kompleks Penghulu Mukim Sedenak, Kulai yang merupakan destinasi terakhir jelajah berkenaan.

Pada KMJ 2023,Tunku Ismail buat julung kalinya memimpin jelajah yang merentasi 10 daerah dengan perjalanan sejauh 879 kilometer selama empat hari bermula 5 Ogos lalu.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN