Kelantan rekod dua kematian akibat denggi

Kelantan rekod dua kematian akibat denggi

ZAINI Hussin (kiri) memasang Jalur Gemilang pada kenderaan sempena Majlis Sambutan Jalur Gemilang Peringkat Wisma di perkarangan Wisma Persekutuan, Kota Bharu, Kelantan hari ini-KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Dua kes kematian akibat demam denggi telah direkodkan di negeri ini sepanjang tempoh Januari hingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, sepanjang tempoh itu pihaknya mendapati berlaku peningkatan sehingga 225 peratus iaitu sebanyak 1,514  kes demam denggi dilaporkan bagi tempoh Januari sehingga 12 Ogos lalu.

Menurutnya, bagaimanapun, jumlah kes denggi pada tahun ini adalah lebih rendah berbanding jumlah kes denggi sebelum pandemik Covid-19 iaitu penurunan 50 peratus berbanding kes denggi pada tahun 2020 sebanyak 3,030 kes.

“Pada Minggu Epidemiologi lepas kita telah mencatatkan peningkatan dan saya jangkakan ia akan mencatatkan peningkatan dengan keadaan cuaca hujan serta kemarau sekarang ini.

“Jika kita tidak mengambil langkah proaktif termasuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes, kes akan terus meningkat dan kita tidak mahu perkara ini berlaku,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Jalur Gemilang Peringkat Wisma Persekutuan Kota Bharu di sini hari ini.

Dr. Zaini memberitahu, dalam tempoh  Januari sehingga 12 Ogos ini sebanyak 122 wabak dicatatkan berbanding 26 pada tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 97 wabak telah tamat manakala 25 lagi masih aktif dan tiada wabak hotspot yang melebihi 30 hari berlaku di negeri ini.

“Setakat ini lokaliti hotspot yang dikenalpasti adalah di Kota Bharu, Bachok dan Tumpat.

“JKNK sentiasa menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan untuk semua kes dan wabak denggi yang dilaporkan bagi memutuskan rantaian jangkitan,” ujarnya.

Dr. Zainy berkata, antara aktiviti kawalan vektor yang dijalankan ialah pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan. 

“Sehingga 12 Ogos lalu, sejumlah 371,269 premis telah diperiksa tempat pembiakan aedes dan 1,639 kompaun dengan nilai RM 819,500 telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang dijumpai terdapat pembiakan Aedes di dalam premis mereka. 

“Pengkompaunan dibuat di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 (Akta 154),”katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya