SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan yang disambut pada esok dengan meraikan 66 penunggang basikal terdiri daripada warganya dalam Kayuhan Santai Merdeka 66.
Selain kayuhan sempena hari kemerdekaan negara ke-66 itu, 30 bendera Jalur Gemilang turut diedarkan kepada pelawat-pelawat yang memasuki kampus induk melalui pintu utamanya.
Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor, program kayuhan tersebut selain meraikan kemerdekaan ia turut mempromosi gaya hidup sihat.
“Kesemua penunggang basikal adalah seramai 66 orang melambangkan 66 tahun negara kita telah merdeka sejak 31 Ogos tahun 1957.
“Kita turut memasang Jalur Gemilang kepada kenderaan 30 pelawat yang masuk melalui pintu utama yang mana hari ini adalah 30 Ogos,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Roziah berkata, program kemerdekaan bukan sahaja diadakan di UiTM Shah Alam tetapi ia turut melibatkan kesemua 34 cawangan universiti tersebut.
“Kita memberi galakan kepada setiap kampus untuk meraikan hari kemerdekaan dengan sambutan mengikut kreativiti masing-masing,”ujarnya.
Katanya lagi, kesemua program sempena kemerdekaan diadakan setiap tahun di UiTM bagi mengenang perjuangan pemimpin terdahulu yang memperjuangkan pendidikan untuk orang Melayu dan Bumiputera. – UTUSAN