Kaji kaedah, bekalan gula mentah negara 100 peratus dari Brazil - Armizan - Utusan Malaysia

Kaji kaedah, bekalan gula mentah negara 100 peratus dari Brazil – Armizan

ARMIZAN MOHD. ALI (tengah) menetapkan harga jualan beberapa produk sempena program Jualan Rahmah Mega di pekarangan Stadium Tertutup MBPG, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap gula mentah import yang kini berada pada tahap 100 peratus.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, lebih membimbangkan apabila negara hanya menerima bekalan itu dari sebuah negara sahaja, iaitu Brazil.

“Yang ada dalam negara adalah gula ‘refinary’, gula proses, tetapi gula mentah, bekalannya kita adalah sepenuhnya dari negara luar. Sebelum ini kita terima bekalan dari beberapa buah negara, antaranya Brazil, Thailand dan India. Namun atas beberapa faktor, kini kita hanya terima bekalan dari Brazil sahaja.

“Jadi, kita perlu fikirkan untuk tempoh masa panjang, bukan sahaja KPDN, tetapi semua kementerian dan agensi terlibat berhubung penghasilan produk penting agar sekurang-kurangnya kita dapat mencapai tahap sara diri kerana kita khuatir faktor geopolitik global akan mempengaruhi bekalan dalam negara,” katanya selepas merasmikan Program Jualan Rahmah Mega di pekarangan Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han dan Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo.

Armizan berkata, tindakan mengimport gula mentah sepenuhnya dari negara luar dibuat kerana kos diperlukan adalah lebih rendah berbanding sekiranya produk itu dikeluarkan secara tempatan.

“Namun faktor itu perlu dikaji semula, kerana kita perlu fikirkan keperluan asas negara untuk tempoh jangka masa panjang. Jadi, walaupun kosnya lebih tinggi sekiranya dihasilkan tempatan, tetapi kita perlu berbelanja lebih sedikit dalam aspek ini,” tegasnya.

Mengenai Jualan Rahmah Mega tersebut, Armizan memaklumkan inisiatif yang telah dijalankan di sebanyak 1,229 lokasi di seluruh negara tersebut telah memberi manfaat kepada seramai 2.1 juta pengguna.

“Jumlah itu direkodkan sejak Januari tahun ini hingga 31 Julai lalu dan di Johor sahaja program ini telah memanfaatkan seramai 611,790 pengguna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya