JOHOR BAHRU: Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed menafikan terdapat penolakan dalam kalangan ahli parti itu terhadap calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.
Beliau membuat penafian itu selepas satu kain rentang dinaikkan pihak tidak dikenali mendakwa sebagai ahli parti peringkat cawangan yang menolak pencalonan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kayat mula tular dalam media sosial.
“Ini merupakan satu taktik kotor yang dibuat pihak-pihak tertentu dengan hasrat untuk mengelirukan pengundi dan juga ahli-ahli UMNO Bahagian Pulai kerana kita sedang berdepan PRK.
“Sebagai Ketua UMNO Bahagian, saya berikan jaminan kepada PH dan Suhaizan sendiri, iaitu kami akan terus menyokong calon kerajaan perpaduan dalam mempertahankan kerusi Parlimen Pulai ini,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Sejak semalam, beberapa kain rentang bertulisan ‘Kami cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pulai menolak calon Pakatan Harapan’ dikesan dinaikkan di sekitar Perling dan Kempas, di sini.
Nur Jazlan yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, sekiranya benar kain rentang itu dilakukan ahli UMNO peringkat akar umbi, beliau pasti akan mengetahuinya.
“Kalau betul ia dilakukan ahli UMNO Bahagian Pulai sendiri, lebih baik mereka terus ke depan dan suarakan perkara tersebut. Sebaliknya, tindakan memasang kain rentang dan menularkan gambar dalam media sosial hanya menunjukkan mereka mempunyai niat tidak baik,” katanya. – UTUSAN