JOHOR BAHRU: Johor bakal menjadi tuan rumah bagi persidangan Asia Pacific Climate Week (APCW) 2023 bermula 13 hingga 17 September depan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemilihan Johor selaku tuan rumah bagi persidangan berprestij itu merupakan bukti terhadap komitmen kerajaan negeri dalam menjayakan agenda hijau.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan membentangkan rangka kerja hala tuju perjanjian hijau dalam persidangan yang bakal dihadiri kira-kira 2,000 delegasi dari 150 negara.
“Rangka kerja itu merupakan satu inisiatif dalam memastikan Johor bersedia untuk berdepan perubahan iklim global pada masa depan. Langkah itu bertujuan memastikan inisiatif hijau yang dirancang dapat dilaksanakan.
“Saya berbangga Johor terpilih sebagai tuan rumah APCW buat julung kalinya, walaupun masalah banjir adalah masalah global, tetapi kita akan berkongsi pengalaman mengatasi masalah banjir melanda negeri ini sebagai kes ‘study’,” katanya dalam sidang akhbar sempena APCW 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Koordinasi Program APCW, Niclas Svenningsen dan Pengerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO), Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.
Sementara itu, Svenningsen memberitahu, persidangan itu akan dialog mewujudkan perkongsian idea yang mampu membuka jalan penyelesaian dan langkah kukuh dalam menangani masalah perubahan iklim.
“Acara ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, perniagaan, masyarakat dan sektor akademik untuk mencari penyelesaian terbaik dalam menangani cabaran iklim, khususnya bagi setiap rantau.
“Kami memilih Johor berbanding beberapa lokasi lain seperti Korea Selatan, Thailand, China dan Pakistan kerana komitmen ditunjukkan kerajaan negeri ini terhadap usaha hijau,” jelasnya. – UTUSAN