JLM komited pastikan ketersediaan alat bantuan pelayaran di Selat Melaka - Utusan Malaysia

JLM komited pastikan ketersediaan alat bantuan pelayaran di Selat Melaka

MOHAMAD Halim Ahmed (dua dari kanan) mendengar penerangan pada sambutan World Marine Aids to Navigation Day (Waton Day) 2023 di Rumah Api Tanjung Tuan, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan memastikan ketersediaan alat bantuan pelayaran pada tahap optimum terutamanya di perairan Selat Melaka dalam usaha mempertingkatkan tahap keselamatan sistem perhubungan laut.

Ketua Pengarahnya, Kapten Mohamad Halim Ahmed berkata, pihaknya juga akan memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada aktiviti pelayaran kapal terutamanya di perairan Selat Melaka.

Jelas beliau, menjadi hasrat JLM memastikan aktiviti pelayaran kapal dalam keadaan selamat dan mengelak risiko berlakunya pelanggaran melalui teknologi pemantauan pihaknya.

“Sekarang sudah ada sistem-sistem elektronik berbanding pada masa dahulu. Alat bantuan pelayaran seperti rumah api kekal juga masih relevan digunakan sehingga kini terutamanya bagi nelayan-nelayan tradisional.

“Secara umumnya, di seluruh negara kita ada 22 buah rumah api di mana 11 daripadanya terletak di Selat Melaka dan memainkan peranan masing-masing bagi memberi panduan pelayaran kepada kapal sama ada untuk tujuan perdagangan mahupun nelayan tradisi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempema sempena Majlis Perasmian World Marine Aids to Navigation Day (Waton Day) 2023 di Rumah Api Tanjung Tuan, di sini, hari ini.

 

MOHAMAD Halim Ahmed ketika ditemui pemberita pada sambutan World Marine Aids to Navigation Day (Waton Day) 2023 di Rumah Api Tanjung Tuan, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Mohamad Halim ketika berucap menjelaskan, tujuan sambutan itu diadakan sebagai usaha meningkatkan pengetahuan dan memberi pendedahan kepada masyarakat umum berhubung kepentingan serta fungsi alat bantuan pelayaran.

“Ramai dalam kalangan kita tidak menyedari hampir keseluruhan barangan keperluan seharian yang digunakan dibawa dengan menggunakan pengangkutan laut.

“Begitulah penting sistem rantaian pengangkutan marin terutamanya kapal yang membawa barang dagangan ke seluruh pelusuk dunia.

 

“Pelayaran sesebuah kapal dari pelabuhan negara mengeksport ke pelabuhan destinasi memerlukan gabungan lengkap sistem navigasi pelayaran supaya ia sentiasa selamat di sepanjang pelayaran,” katanya.

 

Menurut beliau, alat bantuan pelayaran (Aids to Navigation) ditakrifkan sebagai peranti, sistem atau perkhidmatan, yang direka dan dikendalikan untuk memastikan keselamatan pelayaran kapal.

“Alat bantuan pelayaran terdiri daripada beberapa kategori iaitu alat bantuan pelayaran kekal seperti rumah api dan tanda arah suar; alat bantuan pelayaran terapung seperti pelampung pandu dan alat bantuan pelayaran elektronik seperti automatic identification system (AIS) dan remote monitoring system (RMS),” katanya.

Dalam pada itu jelasnya, pemilihan Rumah Api Tanjung Tuan pada sambutan kali ini adalah bagi mengimbau kembali sejarah penubuhannya pada tahun 1863 yang juga merupakan rumah api tertua dan masih lagi berfungsi sehingga kini.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya