JKDM tumpaskan sindiket edar dadah, ikrar sebagai suplemen rupanya kokain - Utusan Malaysia

JKDM tumpaskan sindiket edar dadah, ikrar sebagai suplemen rupanya kokain

ZAZULI Johan (tengah) menunjukkan botol kaca yang mengandungi kapsul dadah jenis kokain yang dirampas JKDM dalam serbuan di Kompleks Kargo Udara KLIA, Sepang, Selangor pada 1 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menggunakan modus operandi mengikrarkan barang dagangan sebagai suplemen (makanan tambahan) ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi rampasan dadah jenis kokain pada 1 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, sindiket tersebut ditumpaskan anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menerusi serbuan pada pukul 8 malam dan telah menyita empat buah kotak di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Selangor.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan telah mendapati kesemua kotak mengandungi botol kaca yang turut mengandungi kapsul disyaki dadah berbahaya jenis kokain dengan berat kasar 88 kilogram dengan nilai rampasan sebanyak RM17.6 juta.

Tambahnya, hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat alat ganti kenderaan iaitu brek cakera kereta di dalam setiap kotak.

“Modus operandi yang digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa adalah dengan cara mengikrarkan dagangan sebagai supplement sedangkan di dalamnya terdapat botol kaca yang mengandungi dadah berbahaya dan alat ganti kenderaan. Sindiket juga menggunakan nama syarikat palsu sebagai syarikat penerima di dalam waybil udara.

“Siasatan awal mendapati dagangan tersebut diimport dari Belanda dan mendarat di Kompleks Kargo KLIA sebagai destinasi terakhir. Siasatan juga mendapati pengimport menggunakan maklumat palsu di dalam dokumen pengimportan dan ini menyukarkan tangkapan di buat ke atas pengimport dagangan tersebut.

“Bagaimanapun siasatan masih berjalan untuk mengesan suspek di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Suspek berkemungkinan warga tempatan kerana destinasi terakhir adalah di sini,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat di Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.

KAPSUL dadah jenis kokain yang terkandung dalam botol-botol kaca yang dirampas pihak JKDM dalam serbuan di Kompleks Kargo Udara KLIA, Sepang, Selangor pada 1 Ogos lalu.

Sementara itu, Zazuli berkata, secara keseluruhan kes dadah yang diperoleh JKDM untuk tahun ini sehingga bulan Julai lalu adalah melibatkan sebanyak 382 kes dengan nilai RM180.502 juta.

“Nilai kes yang tertinggi adalah jenis ekstasi sebanyak 11 kes berjumlah RM96.19 juta diikuti kokain bernilai RM61.64 juta dan methamphetamine sebanyak RM10.5 juta,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya