Jeram Toi dijangka dibuka semula hujung tahun ini - Utusan Malaysia

Jeram Toi dijangka dibuka semula hujung tahun ini

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (empat dari kanan) dan Saleh (dua dari kanan) ketika melihat Taman Eko Rimba Jeram Toi, Jelebu yang sedang dibaik pulih sebelum ia dibuka semula untuk kunjungan orang ramai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lokasi perkelahan popular di daerah Jelebu iaitu, Taman Eko Rimba Jeram Toi dijangka akan dibuka semula untuk kunjungan orang ramai pada penghujung tahun ini.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin berkata, kerja-kerja pembaikan semula Jeram Toi kini sedang rancak dilaksanakan selepas ia musnah sama sekali dalam kejadian hujan lebat berterusan dan banjir besar yang berlaku pada pertengahan bulan Disember 2021.

“Kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kini pada tahap 45 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan November nanti. Ia akan dibuka secara berfasa-fasa dan dijangka pada hujung tahun ia boleh dibuka untuk fasa pertama.

“Selepas pembaikan dan pembangunan semula tersebut, konsep Jeram Toi akan berubah sepenuhnya, tidak ada lagi pembinaan dalam Jeram Toi oleh itu tandas, pejabat dan surau akan berada di kawasan luar. Pembaikan ini akan menunjukkan keaslian dan keunikan sebenar Jeram Toi,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan apabila Jeram Toi dibuka semula kelak, pengunjung di harap tidak terkejut dengan keadaan air sungai di kawasan itu yang masih lagi keruh.

“Selepas kejadian bencana tersebut, air masih lagi keruh kerana ia mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya.

“Masih ada banyak runtuhan di bahagian hulu iaitu di Gunung Berembun, setiap kali hujan, air keruh, saya bimbang orang ramai salah faham berlakunya kerosakan hutan, tetapi sebenarnya ia kerosakan semula jadi disebabkan bencana dan bukannya aktiviti tidak sihat,” ujarnya.

Sementara itu, Saleh berkata, pihaknya juga akan membuka semula trek pendakian Gunung Berembun dan Gunung Telapak Buruk pada awal bulan September ini setelah ia juga ditutup sebelum ini ekoran bencana yang sama.

“Pihak jabatan akan buka semula Lata Berembun pada awal September selepas kerja-kerja pembaikan telah siap sepenuhnya.

“Trek akan dibuka dan telah disiapkan dan diselenggara serta akan beroperasi semula. Kami akan buka semula untuk pendaki Gunung Telapak Buruk namun saya harap ia masih terkawal kerana kerja-kerja penyelenggaraan jalan masuk masih dalam pelaksanaan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN