JAS masih kesan punca sebenar pencemaran - Utusan Malaysia

JAS masih kesan punca sebenar pencemaran

JAS Johor dan pihak bomba menjalankan pemeriksaan di kawasan kilang berhampiran untuk mengesan punca sebenar pencemaran bau di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri ini masih mengesan punca sebenar pencemaran bau kimia yang menyebabkan seramai 24 murid, dua guru dan dua pembantu kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini mengalami pening dan muntah, kelmarin.

Pengarahnya, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, bacaan ‘methyl mercaptan’ yang dikesan di lokasi berhampiran tidak boleh dikategorikan sebagai punca sebenar dan hasil tinjauan pihaknya masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar pencemaran bau itu.

“Selagi JAS tak dapat kenal pasti punca dari mana bau itu datang, kita tak boleh membuat konklusi bacaan ‘methyl mercaptan’ itu adalah punca sebenar kerana bacaan dibuat selepas kejadian itu berlaku. 

“Boleh jadi bacaan sudah lama berada di situ. Jika kita ambil bacaan di Pasir Gudang ketika ini, kita pun akan boleh dapat keputusan yang sama tapi tak berlaku pencemaran di sana. Pegawai penyiasat juga telah menerbangkan dron di lokasi berhampiran dan laporan yang diterima tidak menemukan tapak buangan pelupusan haram atau sisa berjadual di kawasan ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam, media melaporkan seramai 24 orang murid, dua guru dan dua pekerja kantin di SK Sungai Tiram itu mengalami muntah-muntah akibat terhidu bau busuk.

Dalam pada itu, Mohd. Famey berkata, pegawai penyiasat JAS Johor telah menjalankan pemeriksaan di kilang-kilang berhampiran yang disyaki punca pencemaran bau tersebut namun tidak membuahkan hasil.

“Kita masih belum kenal pasti puncanya, pemantauan udara yang dilakukan tidak nampak kesan pelupusan haram dan semua premis kita syaki telah diperiksa, namun bukan berpunca dari premis tersebut.

“Jadi, kita masih lagi membuat siasatan sebab kawasan sekolah itu terdapat kawasan penempatan, kedai runcit dan klinik kesihatan, tetapi tidak banyak aduan yang diterima,” katanya sambil  tidak menolak kemungkinan pencemaran itu  berlaku hasil pembuangan sisa oleh pihak luar.

“Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang turut membantu membuat ujian kualiti air Sungai Tiram berhampiran tidak menunjukkan keadaan abnormal, malah kualiti udara juga tidak menunjukkan keadaan abnormal.

“Pemetaan telah dilakukan secara terperinci dan keadaan semasa mendapati tiada lagi pencemaran bau. Ia kemungkinan berlaku secara ‘one-off’, mungkin ada orang buang sekali ini sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya