SEREMBAN: Jangkaan berlaku pecah undi di antara dua calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan didakwa akan memberikan kelebihan kepada calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi terbabit iaitu, Muhammad Ghazali Zainal Abidin, 37.
Ketua Cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kampung Gedong Lalang itu menjelaskan, perebutan yang berlaku di antara penyandang kerusi Ampangan iaitu Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek dan calon Pakatan Harapan (PH), Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dilihat memberi peluang cerah buat dirinya untuk mencipta kejutan.
“Ini memberi kelebihan kepada saya, sebab undi kedua-duanya akan berpecah. Insya-Allah pengundi PN akan bertambah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Ampangan ini. Jika jentera kami bekerja kuat lagi, kali ini akan memihak kepada kami,” katanya ketika ditemui selepas berkempen dan bertemu orang ramai di sekitar Ampangan di sini hari ini.
Mohamad Rafie yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri tidak dicalonkan semula oleh PKR bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya itu sebelum ini.
Sebaliknya PKR mempertaruhkan Tengku Zamrah yang juga Ketua Wanita PKR Cabang Seremban bagi bertanding di kerusi berkenaan. Ia kemudian mendorong Mohamad Rafie untuk bertanding di kerusi berkenaan atas tiket Bebas.
Sementara itu, Muhammad Ghazali yang merupakan anak jati Gedong Lalang 50 menjelaskan, selepas lima hari berkempen, penerimaan orang ramai terhadap dirinya adalah sangat baik.
“Saya banyak bertemu pengundi secara bersemuka untuk lihat sendiri sambutan mereka, Alhamdulillah, apabila mereka melihat baju saya dan dari parti PN, respon yang saya terima juga positif.
“Pengundi di Ampangan saya dapati lebih matang dan mereka memang mengetahui keadaan politik semasa jadi mereka lebih tahu siapakah yang patut memberikan sokongan,” katanya lagi.
Terdapat seramai 20,992 pengundi berdaftar di DUN Ampangan yang bakal memilih wakil rakyat mereka di kawasan itu pada 12 Ogos nanti.-UTUSAN.