MUKADIMAH
PENYANDANG kerusi Tanjong Sepat, BORHAN AMAN SHAH, 61, gigih bekerja keras mempertahankan kawasan dimenanginya julung kali pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) meskipun diramalkan tiada masalah besar meraih semula mandat rakyat.
Naib Pengerusi PKR Selangor dan Ketua Cabang Sepang itu bukan nama asing selain memiliki rekod bersih bebas kontroversi di sebalik berpengalaman luas sebagai bekas Setiausaha Politik Menteri Besar sebelum ini.
Ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, AMREE AHMAD, beliau masih lagi membawa gaya ‘orang kampung’ yang mudah mesra walaupun menjawat Exco kerajaan Selangor sejak sepenggal lepas dan Setiausaha Pakatan Harapan (PH) di negeri berkenaan.
UTUSAN: Bagaimana pilihan raya kali ini susulan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan di peringkat Pusat dan Selangor?
Ramai pengundi terutama di kampung masih keliru apatah lagi nama BN hampir sama dengan Perikatan Nasional (PN) yang turut menggunakan warna biru, namun saya percaya masyarakat bijak membezakan karakter dua blok ini.
PH juga bantu BN bagi memperjelaskan rasional tercetusnya Kerajaan Perpaduan kerana ada segelintir penyokong tidak jelas bahkan terpedaya tohmahan.
Pengundi muda terutama kali pertama mungkin berpendapat sama sahaja mana-mana parti dan tidak pun ambil peduli isu politik tanah air. Komen?
Saya melihat potensi remaja baru usia 18 tahun lebih mudah terpengaruh ikut kawan atau maklumat salah menerusi media sosial apatah lagi mereka jarang tanya bapa.
Maka di sini peranan besar si ibu cerita apakah manfaat diterima rakyat daripada kerajaan yang stabil.
Contoh Selangor apabila gabungan kerajaan dibentuk itu kukuh, pelaburan pun banyak masuk, ekonomi sihat, peluang kerjaya luas dan hasilnya kemakmuran yang dikecapi ini boleh dikembalikan semula kepada rakyat menerusi pelbagai skim bantuan.
Selepas sepenggal menjadi wakil rakyat, apakah inisiatif menarik yang bakal dilaksanakan jika masih lagi berjaya mengekalkan kerusi N.54?
Saya bersyukur ada inisiatif di sini bakal dijadikan model diperluaskan di seluruh Selangor antaranya perkhidmatan ambulan percuma 24 jam bagi rakyat yang tidak mampu pergi ke hospital kerana jauh dan boleh ditempatkan di semua pihak berkuasa tempatan.
Tidak ketinggalan hasrat bina hospital di Tanjung Rhu kerana fasiliti sebegini paling dekat di Banting lebih 30 minit perjalanan dan mungkin dibuat usahasama dengan swasta.
Bagaimana prospek potensi kawasan ini yang boleh dibangunkan terutama di Batu Laut?
Saya ada perancangan disebut Lima Tekad sejajar dengan manifesto PH dan BN yang dilancarkan baru-baru ini termasuk peluang ekonomi seperti tram khas boleh bawa pengunjung melawat beberapa kampung untuk beli pelbagai produk cenderamata.
Kita juga akan buka semula premis perniagaan di situ yang boleh jual kraftangan desa termasuk makanan tradisi tempe dan belacan di samping kedai telekomunikasi untuk memudahkan penduduk tidak perlu lagi ke pekan yang agak jauh.
Apakah nasihat kepada pengundi yang boleh berubah pendirian bila-bila masa?
Saya minta rakyat khususnya umat Islam buat solat istikharah dan ketua-ketua kampung pula, mohon terangkan kepada penduduk mengenai jasa kerajaan sedia ada selama ini waima ‘buta warna’ iaitu tiada diskriminasi politik apabila beri khidmat bakti untuk rakyat.
Pengundi pula ingatlah apabila memangkah kelak, fikirkanlah nasib baik buruk tindakan kita serta jangan menganiaya anak cucu kita sekiranya tersilap pilih hanya kerana termakan hasutan pihak tertentu yang ada agenda kepentingan tersendiri. – UTUSAN