Itu bukan di Johor - Polis - Utusan Malaysia

Itu bukan di Johor – Polis

TANGKAP layar rakaman video Muhammad Sanusi yang dikatakan berlaku di Johor seperti tular dalam aplikasi TikTok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Nama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor terus menjadi sebutan  pelbagai pihak di negeri ini susulan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, bermula hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) turut heboh dikatakan mendapat sambutan hebat ketika tiba ke negeri ini.

Walau bagaimanapun, polis negeri ini menafikan sebuah video yang tular dimuat naik dalam aplikasi TikTok memaparkan kelibat Menteri Besar Kedah itu berlaku di Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, video itu dikongsikan oleh akaun yang menggunakan nama @longkai_official2 dikesan pada hari ini.

“Hasil semakan mendapati video tular tersebut adalah berkaitan program ‘KL Munajat’ bersama Tuan Guru Abdul Somad, Sheikh Aleey Qodir At-thohiri dan Nur Ahli Badar bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 15 Julai lalu. Video tersebut telah disunting dengan memasukkan laungan sorakan ‘Luaskan Kuasamu Johor’ untuk perkongsian oleh pengguna media sosial lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, pemilik akaun itu berkongsi video berdurasi dua minit dan enam saat berserta kapsyen ‘Gelombang MB Sanusi bila turun ke Johor, bangkitlah sahabat-sahabat di Johor’.

Kamarul Zaman memberitahu, pihak polis telah membuka kertas siasatan dan sedang dalam berusaha bagi mengesan individu-individu yang bertanggungjawab bagi membantu siasatan. 

“Hal ini, dilihat berunsur provokasi dan fitnah yang boleh mendatangkan tanggapan buruk masyarakat dan perbuatan menyebarkan dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang- undang. Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998. 

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai dakwaan yang diperoleh daripada sumber tidak sah dan berkongsi maklumat tersebut sehingga boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya