Isu peneroka di Kelantan selesai jika kerjaan negeri, pusat sealiran

Isu peneroka di Kelantan selesai jika kerjaan negeri, pusat sealiran

AHMAD Shabery Cheek duduk (kiri) bersama peneroka di warga Felda Chiku 3, Gua Musang, Kelantan, semalam.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Masalah yang membelenggu peneroka Felda di negeri ini mampu diselesaikan jika pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan dan persekutuan sealiran selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, hal ini kerana kerajaan sedia ada di negeri ini gagal menyelesaikan banyak perkara melibatkan peneroka.

“Saya mengingatkan bahawa untuk masa depan Felda yang jelas (di Kelantan), kita memerlukan sebuah kerajaan negeri yang sama dengan kerajaan persekutuan dan kita mengharapkan satu perubahan yang lebih ketara dapat dilakukan selepas ini.

“Saya percaya ini peluang terakhir rakyat Kelantan untuk melihat satu perubahan. Cubalah sekali saya katakan ubahlah ada banyak perkara yang tak diselesaikan oleh kepimpinan Kerajaan Negeri kelantan pada hari ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan ceramah sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh di Felda Chiku 3, di sini, malam tadi.

Ahmad Shabery memberitahu, nasib warga Felda akan terus terbela dan menikmati pelbagai manfaat sekiranya mereka memilih wakil rakyat daripada gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, ianya terbukti dengan pelbagai inisiatif yang diwujudkan saban tahun bagi meningkatkan taraf hidup peneroka Felda sejak BN menerajui pemerintahan negara dan usaha itu diteruskan oleh Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berusaha melakukan penyelesaian yang konkrit terhadap isu-isu yang menghimpit peneroka ketika ini setelah ditinggalkan terawang-awang oleh Perdana Menteri kelapan sebelum ini.

“Untuk makluman, kerajaan hari ini sudah meluluskan dana sehingga RM1 bilion setahun bagi tempoh 10 tahun untuk menjamin kelangsungan Felda. Apa guna dikatakan hutang peneroka telah selesai tetapi hutang Felda tidak diselesaikan. Hanya Kerajaan Perpaduan secara serius mengadakan satu perjanjian khas untuk menyelesaikan hutang Felda,” ujarnya.

Ahmad Shabery berkata, perkara itu memberikan kelegaan yang cukup besar buat agensi berkenaan.

“Jika Felda tertekan dengan hutang yang besar bagaimana kita nak bina rumah generasi baru, membaiki dewan serta membantu anak-anak Felda dalam pelbagai perkara yang melibatkan soal pekerjaan, karier memberi biasiswa dan sebagainya.

“Sebelum ini, warga Felda keliru apabila ada tiga Perdana Menteri dalam tempoh lima tahun. Ramai (peneroka) tidak tahu siapa betul dan siapa yang salah. Justeru, saya mengingatkan bahawa masa depan Felda lebih jelas sekiranya kerajaan negeri sama dengan Kerajaan Persekutuan untuk satu perubahan yang lebih ketara,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya