SEREMBAN: Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan akan berlangsung esok.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim dalam kenyataan media hari ini memberitahu, istiadat akan berlangsung pada pukul 9 pagi di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Istiadat berkenaan akan disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Sementara itu, Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan memaklumkan, selepas istiadat tersebut, Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Sembilan yang pertama bagi penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 akan diadakan di Wisma Negeri di sini.
Pada Pilihan Raya (PRN) lalu telah menyaksikan daripada keseluruhan 36 buah kerusi DUN di negeri ini, Pakatan Harapan (PH) menang di 17 buah kerusi.
Barisan Nasional (BN) pula menang di 14 buah kerusi sekali gus gabungan kerjasama kedua-dua parti itu menjadikan 31 buah kerusi yang membentuk kerajaan Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga.
Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun kemudian dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan buat penggal kedua dan telah mengangkat sumpah jawatan itu pada 14 Ogos lalu.-UTUSAN.