SEREMBAN: Prosiding inkues kematian Baby Syifaa bermula semula hari ini di Mahkamah Koroner Seremban dengan peguam, Gaithri Thomas yang mewakili keluarga bayi atau nama sebenarnya Nour Rania Asyifaa, 15 bulan telah mengemukakan bukti baharu di hadapan Koroner, Datin Surita Budin.
Bukti berkenaan adalah empat rakaman perbualan panggilan telefon dalam satu aplikasi di telefon pintar milik ibu bayi berkenaan, Anida Idrus, 42, iaitu rakaman panggilan pengasuh, Khairulnisa Ahmad Damanhuri, 38, kepada Anida pada hari kejadian.
Rakaman berkenaan dimainkan di dalam mahkamah selepas Gaithri mempersoalkan kenyataan Khairulnisa yang juga saksi ke-19 yang tidak sama dengan laporan simulasi yang dibuat.
“Puan katakan lepas puan solat, puan keluar bilik dan makan tengah hari. Saya mencadangkan keterangan puan tidak benar dan semata-mata ingin menyembunyikan sesuatu, boleh rujuk kepada laporan simulasi,” katanya.
Bagaimanapun, berdasarkan transkrip rakaman perbualan yang dibacakan Gaithri, Khairulnisa memaklumkan dia masuk ke bilik Baby Syifaa untuk solat Zohor dan mendapati bayi berkenaan dalam keadaan terjerut.
Peguam itu mempersoalkan kronologi kejadian dan meminta Khairulnissa bersetuju bahawa simulasi yang dilakonkan adalah bercanggah dengan kenyataan dalam perbualan telefon.
Bagaimanapun, Khairulnissa tidak bersetuju kerana pada waktu kejadian, dia sangat cemas ketika menceritakan perkara itu kepada ibu Baby Syifaa dan tidak pasti perkataan yang digunakan adalah tepat atau sebaliknya.
Gaithri turut mempersoalkan Khairulnissa tidak menunaikan solat di bilik Baby Syifaa berada kerana menjadi satu kesalahan meninggalkan bayi tanpa pengawasan.
Namun Khairulnissa menjelaskan pintu bilik berkenaan sangat ketat dan jika ingin masuk bilik itu, mungkin bunyi pintu akan mengganggu tidur bayi itu.
Terdahulu, Gaithri meminta kerjasama saksi untuk melakukan demonstrasi ketika saksi meletakkan Baby Syifaa ke dalam buaian menggunakan patung bayi yang telah disediakan keluarga mengikut anggaran sebenar saiz Baby Syifaa.
Koroner kemudiannya membenarkan penggunaan patung bayi itu selepas mengukur sendiri panjang patung tersebut.
Pada prodising itu, keluarga Syifaa turut diwakili peguam Hafiz Norkhan manakala S. Kavitha menjadi peguam pemerhati pihak pengasuh.
Pegawai pengendali pula terdiri daripada Zahida Zakaria, Husni Fairos Ramly dan Nor Azizah Mohamad.
Prosiding akan bersambung esok, 29 Ogos, 18 September dan 19 September depan dengan memanggil beberapa lagi saksi antaranya bapa bayi berkenaan, Yuseri Yusoff, 39, Anida dan pegawai penyiasat, Inspektor M.Thinagaran.
Sebelum ini, media melaporkan, Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditemui tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.
Pada 30 Mac 2022, bapa bayi itu, Yuseri Yusoff mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.-UTUSAN.