Ibu, rakan 'tomboy' mengaku tak bersalah aniaya, abai anak - Utusan Malaysia

Ibu, rakan ‘tomboy’ mengaku tak bersalah aniaya, abai anak

NURUL ASYIQIN MOHAMAD ZAHIR (dua dari kanan) dan Awin Chua (kiri) didakwa atas dua pertuduhan mengabai dan menganiayai seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal dan rakan serumahnya yang berperwatakan ‘tomboy’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan menganiaya dan mengabai anak kandungnya sejak bulan lalu.

Tertuduh, Nurul Asyiqin Mohamad Zahir, 27, dan Awiin Chua, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Fatimah Zahari.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa dengan niat  menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang berada dalam pemeliharaan mereka sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Bagi pertuduhan kedua, Nurul Asyiqin dan Awiin didakwa dengan niat mengabaikan kanak-kanak yang juga anak kandung Nurul Asyiqin ketika mangsa berada dalam pemeliharaan mereka.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Wau Kikik 7, Bandar Layangkasa, Pasir Gudang antara 1 Julai hingga 9 Ogos lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Peguam bela kedua-dua tertuduh, Abd. Rahim Ali meminta mahkamah memberikan jaminan rendah kepada anak guamnya kerana mereka masih belum didapati bersalah.

“Tiada risiko tertuduh pertama akan mengganggu mangsa kerana hak penjagaan ditentukan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat). Dia juga tidak mempunyai risiko melarikan diri kerana tidak lagi bekerja sejak dua bulan lalu, malah tidak mempunyai pasport dan mempunyai seorang lagi anak yang berusia sembilan tahun.

“Bagi tertuduh kedua pula, dia masih bekerja di Singapura, namun menetap di Pasir Gudang dan mempunyai pasport serta permit yang sah untuk berada di dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir memohon mahkamah memberi jamin sebanyak RM30,000 kepada setiap tertuduh dengan syarat tambahan termasuk dilarang menghampiri atau berhubung dengan mangsa.

“Tertuduh pertama adalah ibu kandung kepada mangsa, dia telah mengambil kanak-kanak itu daripada jagaan datuk dan nenek di Pokok Sena, Kedah sebelum dibawa ke negeri ini. Namun, dia gagal menjaga sehingga terdapat kecederaan fizikal serta diabaikan.

“Tertuduh kedua pula merupakan seorang warga Singapura yang tinggal serumah dengan tertuduh pertama, walaupun tiada pertalian darah tetapi tertuduh turut diberi tanggungjawab menjaga mangsa.

“Kanak-kanak itu kini berada di hospital dan di bawah jagaan bapa saudaranya sementara menunggu pihak JKM memutuskan hak penjagaan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada Nurul Asyiqin, manakala Awiin diberikan jaminan sebanyak RM20,000.

Fatimah turut mengarahkan kedua-dua tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan menetapkan 27 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa daripada Hospital Sultan Ismail (HSI). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya