Hakim tak sihat, keputusan kes pengasuh cuai ditangguh - Utusan Malaysia

Hakim tak sihat, keputusan kes pengasuh cuai ditangguh

NURUL SHAHIRA A'SHIQIN 'SULAIMAN yang menghadapi dua pertuduhan bertindak cuai yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap dua bayi dibawa keluar oleh suaminya dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini menangguhkan prosiding kes seorang pengasuh taska yang didakwa bertindak cuai sehingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada kanak-kanak jagaannya pada 15 Ogos ini.

Penangguhan prosiding fakta dan hukuman itu dimaklumkan oleh peguam bela tertuduh, Syufri A. Samad.

Beliau berkata, prosiding kes itu ditangguhkan selepas Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim yang mendengar kes berkenaan dilaporkan sedang menerima rawatan di hospital.

“Hakim dimasukkan ke hospital kerana kurang sihat. Jadi prosiding kes ditangguhkan kepada 15 Ogos ini untuk jatuh hukum,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah, di sini.

Terdahulu, tertuduh, Nurul Shahira A’shiqin Sulaiman, 28, tahun hadir ke mahkamah ditemani ahli keluarganya kira-kira pukul 8.30 pagi.

Pada 21 Mei lalu, tertuduh yang menjaga seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki sembilan bulan mengaku bersalah bagi dua pertuduhan bertindak cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap bayi tersebut di Jalan Utama 34, Taman Mutiara Rini, di sini kira-kira pukul 1 tengah hari, Mac lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh dikenakan bon berkelakuan baik dan melaksanakan khidmat masyarakat.

Sebelum ini tular dua video berdurasi 48 saat dan 39 saat dalam media sosial yang memaparkan seorang wanita mengasari seorang bayi dan tindakan itu membangkitkan kemarahan warganet selepas dia dilihat menepuk kepala bayi terbabit yang sedang menangis.

Wanita terbabit juga bertindak meniup ke arah muka bayi tersebut sehingga menyebabkan bayi itu sukar bernafas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya