GUA MUSANG: Seorang guru wanita yang dipercayai menghidap diabetes kronik ditemukan mati di tingkat empat kuarters guru di sebuah sekolah di sini, semalam.
Mangsa yang berusia 43 tahun dan masih bujang disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan kira-kira pukul 9 pagi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa dijumpai dalam keadaan telentang oleh seorang guru lain yang turut tinggal di kuarters tersebut di ruang tamu rumahnya.
Menurutnya, selepas penemuan mayat mangsa, satu laporan polis telah dibuat kira-kira pukul 10.57 pagi semalam.
“Hasil siasatan di lokasi kejadian dan keterangan saksi mendapati, tiada unsur-unsur perlakuan jenayah yang menyebabkan kematian mangsa.
“Mayat wanita itu dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk proses bedah siasat. Punca kematian mangsa disebabkan oleh ‘Sepsis Secondary to Necrotizing Fascilitis’ atau jangkitan kuman yang teruk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) memandangkan tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.-UTUSAN