Guru agama bebas tuduhan amang seksual fizikal pelajarnya

Guru agama bebas tuduhan amang seksual fizikal pelajarnya

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Butterworth, Pulau Pinang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan seorang guru agama daripada tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuannya yang ketika itu berusia 14 tahun, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Fathiyah Idris memutuskan demikian terhadap guru lelaki berkenaan selepas menolak rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskannya tanpa dipanggil membela diri.

Dalam penghakiman bertulis bertarikh 26 Julai lalu, hakim berkenaan berpuas hati dengan dapatan hakim bicara bahawa mangsa yang juga pengadu kes merupakan saksi yang tidak kredibel dan keterangannya berhubung insiden yang dikatakan berlaku, adalah meragukan.

“Elemen pertuduhan dan kredibiliti saksi-saksi pendakwaan penting bagi membuktikan pertuduhan. Jika keterangan saksi-saksi tidak kredible dan meragukan, maka keterangan itu fatal dan memberi kesan terhadap kes pendakwaan,” ujar penghakiman itu yang diperolehi daripada laman web mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman Fathiyah selanjutnya berpuas hati dengan dapatan hakim baca yang berpeluang menilai secara maksimum keterangan mangsa dan kelakuannya serta keterangan ibu (saksi pendakwaan kedua) selain rakannya (saksi pendakwaan ketiga) yang turut berada di sekolah berkenaan ketika kejadian berlaku.

Mahkamah itu turut berpuas hati dengan keterangan ibu mangsa yang memberi gambaran negatif terhadap imej anaknya apabila menyatakan pelajar itu pernah melarikan diri dari rumah untuk berkahwin dengan seorang lelaki berusia 24 tahun.

Selain itu, mahkamah juga berpuas hati dengan keterangan rakannya bahawa mangsa pernah berbohong dan seorang pelajar bermasalah di sekolah.

“Hakim bicara percaya bahawa mangsa seorang saksi yang tidak jujur, kerap berimaginasi dan keterangan kemungkinan besar adalah rekaan selain meraguinya kerana mangsa tidak mengambil tindakan yang wajar untuk mengelak tindakan guru berkenaan,” demikian menurut penghakiman tersebut.

Selain itu, Pesuruhjaya Kehakiman Fathiyah berpuas hati dengan dapatan hakim bicara bahawa tiada teks mesej WhatsApp dalam salah satu telefon bimbit yang dirampas daripada tertuduh berkaitan permintaan guru itu agar mangsa bertemunya dalam kereta pada hari kejadian.

Mahkamah menerima laporan pemeriksaan forensik yang menyatakan tiada pertukaran mesej dalam telefon milik guru berkenaan bagi menyokong kewujudan komunikasi melalui WhatsApp di antara kedua-duanya.

“Hakim bicara berpuas hati bahawa keterangan mangsa berhubung mesej WhatsApp daripada gurunya, adalah tidak benar kerana jika teks itu wujud, sudah tentu ia terkandung dalam laporan pemeriksaan forensik,” ujar penghakiman itu.

Rayuan itu didengar pada 4 Julai lalu. Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Guru itu yang mengajar subjek Usuluddin didakwa atas pertuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang merupakan pelajar tingkatan dua di bilik stor kelas tingkatan tiga sekolah berkenaan di Butterworth kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 25 Mac 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta
Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(a) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat manakala Seksyen 16(1) memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan minimum dua kali.

Ketika perbicaraan, seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan termasuk mangsa, ibunya dan seorang pelajar sekolah yang sama.

Ketika memberi keterangan, mangsa menyatakan, pada hari kejadian, dia ke sekolah tersebut bersama-sama seorang pelajar lain untuk membersihkan kelas tingkatan tiga sebagai persediaan untuk sesi persekolahan selepas cuti panjang akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika wabak Covid-19.

Menurut mangsa, sewaktu sedang membersih dan menyusun semula kelas, guru berkenaan memanggil salah seorang daripada mereka untuk membantunya di kelas bersebelahan. Mangsa kemudian mengikutnya.

Mangsa berkata, tertuduh kemudian memintanya menyusun kerusi dan meja dan meyimpan kerusi berlebihan di bilik stor di belakang kelas.

Kata pelajar itu, ketika memasuki bilik stor, guru berkenaan mengekorinya dan menutup pintu lalu meminta untuk menyentuh bahagian tubuhnya.

Menurut mangsa, dia enggan melayan permintaan tertuduh namun guru itu melakukan perbuatan amang seksual fizikal serta mengarahkan agar kejadian itu tidak diceritakan kepada sesiapapun.

Keterangan pelajar tersebut turut menyatakan, selepas keluar dari bilik stor berkenaan, dia menerima mesej melalui WhatsApp daripada tertuduh yang mengarahkannya datang ke kereta yang diletakkan di tepi jalan bertentangan asrama lelaki.

Ujar mangsa, dia seterusnya bertemu tertuduh dalam kereta selama 15 minit sebelum kembali ke koridor sekolah dan menunggu ibu menjemputnya.

Keesokan hari, mangsa memberitahu ibunya mengenai kejadian itu menyebabkan ibunya mengadu perkara itu kepada pihak sekolah. Mangsa membuat laporan polis dua bulan kemudian.

Pada prosiding perbicaraan, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam R. Thevan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya