Gesa pihak berkuasa siasat Muhyiddin berkaitan dakwaan

Gesa pihak berkuasa siasat Muhyiddin berkaitan dakwaan penyelewengan 1BestariNet

MUHYIDIDN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung penyelewengan projek 1BestariNet yang dilaksanakan oleh YTL Corporation Berhad (YTL).

Pengerusinya, Uzair Mohamad Fadzli berkata, siasatan itu perlu dilakukan berikutan pendedahan isu penyelewengan yang turut dilaporkan berita Malaysia World News.

Katanya, pihaknya terpanggil membuat laporan polis kerana percaya wujud salah guna kuasa dan isu penyelewengan melibatkan kepentingan awam serta dana negara yang besar membabitkan projek 1Bestari Net didapati gagal mencapai objektif meskipun berbilion ringgit dibayar kepada YTL.

“Pembayaran projek itu pernah dilaporkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada 2019 dan Laporan Audit Negara bagi tahun 2013.

“Malah, merujuk kepada hantaran yang dibuat oleh individu dikenali sebagai Datuk Lokman Adam di Aplikasi X atau yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, ia mendedahkan isu penyelewengan yang berlaku di dalam projek itu,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Terdahulu, Uzair mewakili MKN membuat laporan polis ke atas penyelewengan 1Bestari Net di IPD Dang Wangi pada 3 petang.

Mengulas lanjut, Uzair berkata, projek 1Bestari Net menelan belanja sebanyak RM4.6 bilion, jauh lebih tinggi daripada kos yang sepatutnya dianggarkan bernilai RM1 bilion menurut penilaian pihak industri.

Tambahnya, pendedahan laporan daripada portal berita menunjukkan pihak YTL membina tiang pencawang di atas tanah milik kerajaan tanpa membayar caj utiliti dan sewaan tapak.

Tegasnya, berdasarkan pendedahan tersebut, MKM percaya projek 1Bestari Net melanggar prosedur dan tata kelola perolehan kerajaan ekoran penyelewengan.

Malah menurutnya, kemungkinan berlaku salah guna kuasa oleh pihak yang meluluskan projek tersebut pada 2012.

“Kami menuntut agar satu siasatan polis dimulakan terhadap Muhyiddin dan tindakan undang-undang yang tegas diambil ke atasnya.

“MKM akan membuat laporan polis di 14 buah negeri di seluruh negara di atas dakwaan penyelewengan 1Bestari Net ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya