TAMPIN: Gelombang pengundi Melayu dijangka bakal menjadi penentu kepada keputusan parti mana yang bakal menerajui enam buah negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau sebelum ini meramalkan 3-3 iaitu tiga negeri dimenangi gabungan parti membentuk Kerajaan Perpaduan manakala tiga buah lagi negeri kepada Perikatan Nasional (PN).
Bahkan beliau turut menjangkakan peratusan pengundi Melayu yang keluar mengundi juga akan melebihi 85 peratus.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu menjelaskan, sekiranya gelombang pengundi Melayu itu banyak beralih kepada pihak PN, ramalan tiga negeri dimiliki Kerajaan Perpaduan juga bakal berubah.
“Negeri Sembilan sama ada disusuli gelombang perubahan (pengundi Melayu), kalau ada maka kawasan-kawasan yang dahulunya dianggap selamat, mungkin jatuh, Gemas (DUN) contohnya saya datang sebab Ridzuan Ahmad ada peluang di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membantu kempen calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas iaitu Ridzuan Ahmad di Felda Jelai, di sini, hari ini.
Menjelaskan mengenai ramalan 36-0 memihak kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini, Khairy berkata, ramalan itu adalah berdasarkan senario keputusan pada pilihan raya umum yang lalu.
“Maksudnya ambil satu undi BN, ambil satu undi PH daripada pilihan raya lepas jadi dua, tetapi saya rasa bukan adakalanya satu sahaja, satu itu akan lari sebab mesti ada kesan BN bekerjasama dengan PH.
“Undi BN tu dahulu kepada BN tapi mesti ada yang tidak beri undi kepada BN-PH” katanya.
Kata beliau, pengundi bukan Melayu pula sudah diketahui sebanyak 90 peratus akan memberikan undi kepada PH-BN.
“Mereka (pengundi Cina) terpaksa undi BN sekarang ni, dulu tak pernah undi BN tetapi sekarang ini terpaksa undi BN, ya undi Cina letak apa benda pun dia akan undi… lupakan ramalan undi Cina sebab 90 peratus akan undi PH dan terpaksa bagi kepada BN sebab sudah berkawan.
“Ini soal gelombang pengundi Melayu itu yang akan menentukan PRN ini,” katanya.
Dalam pada itu, ketika disoal mengenai aktivitinya yang turut turun padang dalam tempoh berkempen kali ini, bekas Ketua Pemuda UMNO itu menjelaskan, beliau berkempen untuk sahabat peribadinya yang turut bertanding dalam PRN kali ini.
“Saya tidak pilih mana-mana parti, cuma datang bantu di tempat kawan-kawan lama saya bertanding. Saya sokong Ridzuan sebab saya tahu dia bagus yang boleh menjadi ADUN yang cemerlang.
“Sama juga pagi tadi di Klawang, Danni Rais, selepas tu di Sungai Lui calon BN (Mohd. Razi Mohd Ali),” katanya lagi.-UTUSAN.