KOTA BHARU : Seluruh premis perniagaan serta swasta di negeri ini diingatkan supaya tidak mengibarkan Jalur Gemilang yang sudah lusuh atau terkoyak.
Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan, Muhd. Nor Aswadi Md. Nor berkata, tindakan itu dilihat seolah-olah tidak menghormati Jalur Gemilang yang menjadi kebanggaan negara.
Menurutnya, semua pihak perlu menunjukkan semangat cintakan negara dengan menukar Jalur Gemilang sekiranya ia sudah lusuh atau rosak.
“Kita dapati masih premis yang masih menggantung Jalur Gemilang sehingga lusuh serta terkoyak dan perkara ini sepatutnya dielakkan.
“Kita perlu sama-sama mengibarkan jalur gemilang dengan memberi penghormatan yang sewajarnya pada jalur gemilang,” katanya pada sidang akhbar selepas Sambutan Jalur Gemilang Peringkat Wisma Persekutuan Kota Bharu di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr. Zaini Husin.
Dalam perkembangan lain Muhd. Nor Aswadi memberitahu, pihaknya juga telah merangka 66 program sepanjang bulan kemerdekaan termasuk kempen Kibar Jalur Gemilang supaya masyarakat lebih memahami erti sebuah bendera sebagai lambang maruah negara yang merdeka dan berdaulat.
Katanya, kempen berkenaan telah mula dilaksanakan sejak 24 Julai lalu dengan mengadakan Kembara Merdeka Jalur Gemilang di beberapa lokasi terpilih di seluruh kelantan.
“Kita akan teruskan lagi beberapa program untuk menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan negara di beberapa lokasi terpilih termasuk di kampung, pasar serta pusat pelancongan seperti pantai.
“Selain itu JaPen juga turut menerbitkan buku dan risalah berkaitan Jalur Gemilang yang boleh dimuat turun melalui laman web rasmi Jabatan Penerangan Malaysia atau boleh didapati di Pejabat Penerangan Daerah seluruh negara selagi stok masih ada,” ujarnya.-UTUSAN