Dua sahabat dijel, disebat mengaku salah rompak hotel - Utusan Malaysia

Dua sahabat dijel, disebat mengaku salah rompak hotel

MUHAMMAD ARIF MOHAMMED KASIM (kiri) dan S. Kajenthiran (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kluang selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak sebuah hotel di Simpang Renggam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Dua sahabat dihukum penjara dan sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen,  di sini hari ini atas pertuduhan merompak sebuah hotel di Simpang Renggam.

Tertuduh, Muhammad Arif Mohammed Kasim, 26, dan S. Kajenthiran, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mujib Saroji. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, dua sahabat itu  didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan sebilah parang dan spanar ke atas Ismail Noordin, 60, serta mengambil sebuah telefon bimbit jenama Oppo berwarna hitam dan wang tunai kira-kira RM200 di kaunter Z Stay In Hotel di Simpang Renggam pada pukul 7.40 pagi,  25 Julai lalu.

Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen  397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Muhammad Arif Mohammed Kasim turut mengaku bersalah terhadap satu lagi pertuduhan merompak Hotel Ria, Jalan Sultanah pada pukul 12.55 tengah malam,  5 Julai lalu bersama-sama seorang lagi yang masih bebas. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Ramizah Razli memohon kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman setimpal berikutan kesalahan merompak menggunakan senjata. 

Namun, Muhammad Arif yang bekerja sebagai pemandu lori tidak diwakili peguam bela merayu hukuman diringankan dengan alasan mempunyai dua orang anak berusia enam bulan dan empar tahun selain isteri sedang mengandungkan berusia sebulan. 

Kajenthiran yang tidak bekerja  turut tidak diwakili peguam bela merayu hukuman diringankan dengan alasan isterinya sedang mengandung berusia tiga bulan selain perlu menjaga ibu mentua yang sudah uzur. 

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dari tarikh ditangkap serta dua sebatan bagi kesalahan pertama ke atas Muhammad Arif Mohammed Kasim, manakala bagi kesalahan kedua, dia dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan. Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan serentak.

Kajenthiran yang turut mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan  dikenakan hukuman penjara lapan tahun serta tiga sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya