SEREMBAN: Dua orang rakan dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Seremban hari ini atas kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 768.9 gram di sebuah restoran makanan segera di Nilai hampir lima tahun lalu.
Hakim, Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Zarif Mohd. Noor Ajala, 46, dan Mohd. Najmi Abd. Rahim, 36, selepas perbicaraan penuh dijalankan dan didapati bersalah.
Dalam penghakimannya itu, beliau menyatakan seperti mana yang telah diputuskan sebelum ini, kedua-duanya didapati bersalah atas pertuduhan mengedar dadah dan hari ini adalah untuk penangguhan tarikh lepas bagi mendapat maklum pindaan kepada hukuman gantung.
“Pada bulan lepas pindaan mahkamah boleh memberi hukuman pilihan pemenjaraan dan tidak dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Di sebalik apa yang berlaku pada awal berdua, terdapat perkara yang patut awak bersyukur pindaan kepada gantung telah diluluskan.
“Sebelum ini ramai didapati bersalah atas kesalahan ini (mengedar dadah) digantung sampai mati. Ini semua bergantung kepada kepercayaan kita. Mana-mana agama, anutan semua, kalau kita tidak ditakdirkan mati di tali gantung sememangnya begitulah takdir,” katanya.
Azman turut menegaskan, bagi rayuan yang bakal difailkan nanti hanya hukuman sebatan sahaja ditangguhkan sehingga rayuan selesai namun hukuman penjara berjalan dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap.
Pada 26 Mei lalu, kedua-dua tertuduh telah disabitkan bersalah atas perbuatan tersebut yang dilakukan pada 18 September 2018 kira-kira pukul 3.45 petang di sebuah restoran makanan segera di Nilai.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly manakala tertuduh pertama diwakili peguam, Wan Shahrizal Wan Ladin tertuduh kedua diwakili peguam, R. Palaya.-UTUSAN.