KUANTAN: Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran negeri ini melalui platform e-dagang tanpa kebenaran.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek ditahan dalam serbuan di Puchong, Selangor dan Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 8 Ogos lalu.
Menurutnya, suspek yang berusia dalam lingkungan 40 tahun dan 52 tahun itu direman empat hari dari 9 Ogos hingga 12 Ogos lalu, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kita juga merampas beberapa barang kes melibatkan penjualan lambang seperti pelekat kereta dan jata negeri.
“Kini kita sedang dalam proses melengkapkan siasatan dan jika sabit kesalahan, kita akan membuat pertuduhan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang di Alor Akar di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, Noor Hisam Nordin dilantik semula sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang berkuatkuasa 30 Ogos ini selepas bertugas sebagai Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.
Jawatan tersebut sebelum ini dipangku Datuk Mohd. Yusri Othman yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang selama hampir tujuh bulan.
Terdahulu, 11 Julai lalu, polis Pahang menyiasat kegiatan penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran negeri Pahang melalui platform e-dagang tanpa kebenaran.
Kegiatan penjualan itu dikesan selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan menerima laporan dan siasatan awal mendapati satu set darjah kebesaran itu dijual pada harga melebihi RM1,000.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.
Sementara itu, beliau berkata, polis negeri bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat terhempas mengorbankan 10 mangsa di Elmina, Seksyen U16 di Shah Alam, Selangor, Khamis lalu.
“Kita tunggu keputusan tarikh penamaan calon dan pengundian daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Polis Kontinjen Pahang sentiasa siap sedia yang mana membabitkan jumlah keanggotaan dan aset dalam memastikan keselamatan terjamin di PRK berkenaan,” katanya. – UTUSAN