Dua kali terjerat perangkap ah long - Utusan Malaysia

Dua kali terjerat perangkap ah long

CHONG dan Ahli Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Johor, Joan Ng menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat ketika ditemui di Pejabat MCA Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah perumpamaan menggambarkan keadaan seorang wanita yang tersilap meminjam wang daripada ceti haram atau ah long bagi melunaskan hutang ah long lain dan kini diburu oleh kedua-duanya.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Chong, 25, kini terpaksa berpindah rumah kerana tidak mampu membuat pembayaran dan sering diganggu ah long yang menuntut bayaran daripadanya.

Chong berkata, detik hitam itu bermula apabila dia membuat pinjaman S$ 5,000 (dolar Singapura) atau RM17,129 pada 1 Ogos lalu, namun bayaran yang diterimanya hanya S$600 (RM2,055).

Bekas pekerja spa di Singapura itu membuat pinjaman tersebut bagi memudahkan urusan dia berpindah ke rumah baharu bersama-sama kakaknya di republik itu selain bercadang menggunakan wang itu untuk bercuti ke Taiwan.

“Oleh kerana perlu membayar deposit dan urusan lain, saya menjumpai agensi pinjaman wang dalam media sosial yang saya fikir beroperasi secara sah. Saya kemudian buat permohonan pinjaman sebanyak S$5,000 dan menghantar semua maklumat peribadi diperlukan kepada agensi pinjaman wang di Singapura itu termasuk menamakan kakak saya sebagai penjamin.

“Sehari selepas itu, saya hanya memperoleh S$600 (RM2,055) dan terpaksa membayar ‘interest’ sebanyak S$500 (RM1,713) setiap minggu,” katanya dalam satu sidang akhbar di Pejabat MCA Johor, di sini hari ini.

Chong meminta untuk membatalkan pinjaman dan hanya boleh berbuat demikian selepas membayar caj pembatalan sebanyak S$1,100 (RM3,768), caj menyelesaikan hutang S$600 (RM2,055) dan kadar bunga S$500 (RM1,713).

Serik diganggu dan diugut oleh ah long, wanita itu kemudiannya mendapatkan bantuan pinjaman daripada agensi pinjaman wang yang lain bagi menyelesaikan masalah dengan ah long tersebut.

“Pada 4 Ogos lalu, saya minta bantuan daripada agensi lain dan mereka beritahu sudah menyelesaikan hutang saya dan membayar S$2,000 (RM6,853) kepada ah long terbabit. Namun, saya sekali lagi ditimpa malang setelah terjerat dengan ah long kerana pada keesokan harinya, agensi pinjaman wang kedua ini pula meminta saya bayar S$4,800 (RM16,449) untuk hutang dan bunga,” katanya.

Mereka mengugutnya selagi tidak membuat pembayaran, namun dia sudah kehabisan wang simpanan untuk berbuat demikian.

“Dua tiga hari saya terima mesej mereka nak ganggu keluarga saya dan pada 7 Ogos lalu, mereka semakin agresif dengan menyimbah cat merah pada rumah keluarga saya. Walaupun sudah jelaskan tidak berduit, tetapi mereka masih kacau,” katanya sambil memberitahu telah membuat tiga laporan polis kepada pihak berkuasa di Singapura, manakala bapanya berusia 56 tahun juga telah tiga kali membuat laporan polis.

“Pada 11 Ogos lalu, ada orang datang rumah keluarga saya bawa cat dan api, namun dipercayai dia ternampak CCTV (kamera litar tertutup) dan terus melarikan diri. Tiga hari kemudian, ada orang datang ke rumah bertindak membakar pagar rumah. Hingga kini saya dan keluarga terpaksa berpindah rumah kerana hidup dalam ketakutan,” katanya anak kedua daripada lima beradik itu yang juga terpaksa berhenti kerja kerana takut keluar rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya