Dipukul bapa kerana tak maklumkan bekerja sebagai jurujual - Utusan Malaysia

Dipukul bapa kerana tak maklumkan bekerja sebagai jurujual

AHMAD ZAMRY MARINSAH menunjukkan gambar kecederaan yang dialami mangsa akibat dirotan bapanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Gara-gara tidak memaklumkan bekerja sebagai jurujual, seorang wanita luka disebat bapanya dengan rotan di Kampung Melayu Raya, dekat sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 20 tahun pada pukul 12.16 tengah malam tadi, memaklumkan mengalami luka selepas dipukul dengan rotan.

Pihaknya segera menjalankan siasatan dan menahan bapa mangsa yang berusia 45 tahun di kediamannya pukul 2.33 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pukul 11 pagi semalam ketika bapa mangsa yang bekerja sebagai penoreh getah dikatakan berada di rumah.

“Ketika kejadian mangsa berada di rumah sebelum didatangi bapanya yang secara tiba-tiba merotan mangsa lebih 10 sebatan di betis, paha dan siku menggunakan rotan. Akibat kejadian itu, mangsa cedera teruk,” katanya ditemui di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, hari ini.

Siasatan awal mendapati lelaki itu bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan anak perempuan sulungnya itu mengikut saudara terdekatnya bekerja sebagai jurujual di Sungai Buloh tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu.

Beliau berkata, mangsa telah menerima rawatan di Hospital Segamat (HS) berikutan kecederaan serius akibat sebatan bertalu-talu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324/ 18A Akta Keganasan Rumah Tangga kerana dicederakan, katanya sambil memaklumkan suspek memiliki beberapa rekod jenayah lampau berkaitan curi dan menyamar sebagai penjawat awam dan kini direman tiga hari bermula hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya