Dihalau akibat hidapi tibi, lima sekeluarga tidur dalam kereta - Utusan Malaysia

Dihalau akibat hidapi tibi, lima sekeluarga tidur dalam kereta

MOHD. FAISAL KAMAROZAMAN dan isteri serta tiga anaknya menjadikan kereta sebagai rumah mereka apabila dihalau dari rumah mentua kerana disahkan menghidap tibi di Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Akibat menghidapi penyakit tuberculosis  atau tibi, lima sekeluarga dihalau oleh keluarga mentua dan terpaksa tinggal di dalam kereta kira-kira dua bulan berhampiran Hospital Segamat, di sini.

Menurut Mohd Faisal Kamarozaman, 36, sebelum ini mereka sekeluarga tinggal bersama-sama keluarga mentua di Bukit Siput, di sini sebelum dihalau keluar apabila mengetahui anak keduanya menghidap tibi pada Jun lalu.

“Segalanya bermula apabila anak kedua saya yang berusia enam tahun ada kelenjar di belakang telinga kanan. Jadi, apabila doktor lakukan rawatan, sampel tisu kelenjar itu diambil dan disahkan menghidapi tibi serta selepas itu menjangkiti anak bongsu, anak sulung dan saya.

“Apabila keluarga mentua mengetahui kami sekeluarga menghidap tibi, kami diminta sewa di rumah lain pada hari yang sama kerana mereka bimbang akan dijangkiti. Saya dan isteri tidak dapat berfikir nak ke mana kerana dihalau serta-merta dan kami mengambil keputusan bermalam di dalam kereta sahaja,” katanya ketika ditemui di Segamat Baru, di sini.

Mohd  Faisal berkata, isterinya Susilawati Asmarajaya, 29, yang bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Segamat turut terpaksa mengambil cuti tanpa gaji kerana menjaga anak-anak yang sakit.

Susilawati pula berkata, suaminya membantu adiknya berniaga burger di Johor Bahru, tetapi dengan keadaannya yang masih menghidap tibi, dia tidak dapat bekerja lagi mengikut nasihat doktor.

“Begitu juga dengan saya yang merupakan kontak rapat kepada suami dan anak-anak yang menghidap tibi. Anak sulung juga masih tidak dapat bersekolah sejak pertengahan Jun lalu selepas disahkan menghidap tibi,” katanya.

Kini suami dan tiga anaknya, Putri Nur Syakilla, 9, Putra Nur Sariffuddin, 6, dan Muhammad Raziq hafizan, 3, masih lagi menerima rawatan dan perlu ke klinik kesihatan atau Hospital Segamat setiap hari untuk mengambil ubat.

Sejak pertengahan Jun lalu, mereka sekeluarga tinggal di dalam kereta yang diletakkan di tempat parkir di Hospital Segamat dan dalam tempoh itu mereka terpaksa meminta ihsan orang ramai untuk bantuan makanan serta wang saku bagi membeli keperluan, khususnya anak-anak.

Semalam, kisah menyayat hati lima sekeluarga itu tular dalam media sosial Facebook apabila seorang pengguna, Nordarlina Yusof berkongsi nasib malang mereka yang ditemui meletakkan kereta di salah sebuah stesen minyak berhampiran Hospital Segamat.

Selepas tular, ramai warga Segamat yang hadir di stesen minyak berkenaan bertanya khabar sambil menghulurkan bantuan makanan dan wang saku.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut datang dan menghulurkan bantuan selain  Pemuda UMNO Bahagian Sekijang serta serta seorang pemimpin tempatan, Datuk Ayub Rahmat.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada lima sekeluarga itu boleh menghubungi Mohd. Faisal menerusi talian 016-7286831 atau isterinya Susilawati 011-73429634 atau ke akaun CIMB  Mohd. Faisal bernombor 7615951825. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya