Didakwa edar dadah, dua sahabat diarah bela diri - Utusan Malaysia

Didakwa edar dadah, dua sahabat diarah bela diri

DUA lelaki diarah untuk membela diri di Mahkamah Tinggi Seremban atas pertuduhan mengedar dua jenis dadah di parkir sebuah hotel di Seremban kira-kira empat tahun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini mengarahkan dua sahabat untuk membela diri atas tuduhan mengedar dadah di daerah ini, kira-kira empat tahun lalu.

Mohamad Raiyan Faiz Abdullah, 27, dan Mohamad Fierdaus Ridwan, 29, didapati mengedar dadah jenis heroin seberat 140 gram dan monoacetylmorphines seberat 31 gram di parkir sebuah hotel dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam pada 27 Mac 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Hakim, Datuk Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui apa-apa keraguan munasabah ke atas setiap satu elemen pengedaran iaitu pemilikan sebenar dan pengedaran sebenar tanpa bersandarkan ke atas apa-apa tangkapan. 

“Maknanya beban kepada kes pembelaan adalah hanya untuk membangkitkan sesuatu keraguan yang munasabah. Pihak pembelaan dipanggil untuk kes, mungkin boleh terangkan tiga pilihan di tangan tertuduh. 

“Sekarang ini ada pilihan sama ada untuk tidak memberikan apa-apa keterangan berdiam diri, dalam hal ini saya akan sabit kesalahan. Keduanya, memberi keterangan bersumpah dan ketiga memberi kenyataan dari kandang saksi,” katanya.

Hakim kemudiannya memberikan peguam tertuduh untuk berbincang sebelum menetapkan pilihan berkenaan.

Kedua-duanya yang bekerja sendiri sebelum ditangkap memilih untuk memberi kenyataan dari kandang saksi.

Mahkamah menetapkan prosiding bela diri itu pada 14 hingga 17 November ini dengan memanggil saksi yang masih belum dipanggil.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ala’uddin Baharom manakala tertuduh pertama diwakili oleh peguam, Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli dan tertuduh kedua diwakili Syufri A Samad dan Fahmi Jamil.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya