Dera: Dapatkan maklumat waris kanak-kanak - Utusan Malaysia

Dera: Dapatkan maklumat waris kanak-kanak

Khairin-Nisa Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru sedang mendapatkan maklumat lanjut tentang waris atau orang yang layak dan sesuai bagi menjaga kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandung serta rakannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail berkata, penilaian juga akan dilakukan bagi tujuan perlindungan sementara atau tetap selepas kanak-kanak tersebut keluar dari hospital.

“Saya turut berduka cita dengan kes penderaan kanak-kanak berumur tujuh tahun yang dipukul oleh ibu dan teman ibunya yang berlaku di Pasir Gudang. Saya  dimaklumkan bahawa kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru dan sedang menjalani rawatan. 

“Kita sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai waris atau orang yang layak dan sesuai bagi menjaga kanak-kanak bagi tujuan perlindungan sementara atau tetap selepas kanak-kanak tersebut discaj dari hospital,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, wanita yang dipercayai mendera anak lelakinya yang berusia tujuh tahun berserta pasangannya, seorang wanita warganegara asing berperwatakan tomboy telah ditahan reman.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ibu suspek yang berusia 27 tahun direman enam hari, manakala suspek berperwatakan tomboy berusia 30 tahun itu pula direman selama tujuh hari.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video menunjukkan orang awam menyerbu rumah berkenaan bagi menyelamatkan kanak-kanak yang dipercayai didera ibu kandungnya dan seorang rakannya.

Salah satu video yang tular turut menunjukkan bahagian belakang badan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal agak teruk, dipercayai kesan luka akibat melecur.

Mengulas lanjut, Khairin-Nisa berkata, difahamkan kanak-kanak yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu baru setahun tinggal bersama-sama ibunya selepas dijaga oleh datuk dan neneknya di Pokok Sena, Kedah.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor, Pasukan Pelindung Kanak-Kanak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bekerjasama dan pantas bertindak bagi menyelamatkan kanak-kanak tersebut. 

“Terima kasih juga diucapkan kepada orang awam dan komuniti setempat yang peka dengan keadaan sekeliling dan terus melaporkannya menerusi talian kecemasan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya