KOTA TINGGI: Seorang lelaki bergelar Datuk dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas kesalahan memandu Lamborghini Huracan Coupe secara gopoh di Lebuhraya Senai-Desaru, hujung bulan lalu.
Tertuduh, Datuk Lim Thean Seng, 65, yang merupakan ahli perniagaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Thean Seng didakwa memandu Lamborghini Huracan Coupe nombor pendaftaran KV 2369 E dengan cara yang memandang berbahaya kepada orang awam di Kilometer (KM) 54.5 hingga KM 55.5, Lebuhraya Senai-Desaru, kira-kita pukul 10 pagi, 29 Julai lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan
boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda maksimum RM15,000, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa pada tarikh, lokasi dan masa yang sama telah memandu secara gopoh sehingga mungkin menyebabkan bencana
kepada seseorang yang lain dan boleh didakwa di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau dengan kedua – duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Thean Seng yang diwakili peguam bela, Mohd. Syakirin Syazwan Mohd. Nayan turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan pilihan berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid meminta pihak mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 kepada tertuduh.
Namun, Mohd. Syakirin meminta supaya anak guamnya diberikan jaminan yang minimum ekoran tertuduh mempunyai masalah kesihatan yang memerlukan rawatan bulanan.
Anak guamnya juga memberi kerjasama dalam siasatan dengan pihak polis dan komited memastikan kes berjalan lancar walaupun perlu hadir dari Kuala Lumpur dan dalam masa sama mempunyai temu janji kesihatan pada hari ini.
Rashidah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 5 September ini untuk serahan dokumen. – UTUSAN