Dasar gaji progresif perkenal sistem lebih adil kepada pekerja produktif

Dasar gaji progresif perkenal sistem lebih adil kepada pekerja produktif

DR. ZUNIKA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan dasar gaji progresif merupakan satu sistem penggajian lebih adil bagi membolehkan upah semua kategori pekerja formal meningkat pada kadar lebih tinggi seiring peningkatan produktiviti golongan itu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Ekonomi, Datuk Dr. Zunika Mohamed berkata, melalui sistem berkenaan, pekerja perlu menjalani latihan peningkatan kemahiran dan produktiviti yang diiktiraf Kerajaan sebelum menerima kenaikan gaji.

Kata beliau, dasar gaji progresif akan menjadi pelengkap kepada dasar gaji minimum dan membantu pekerja lama serta graduan yang baru memasuki alam pekerjaan untuk mendapat gaji lebih tinggi.

KEMAHIRAN

“Penyertaan pekerja dalam latihan peningkatan kemahiran bukan sahaja membolehkan produktiviti meningkat di samping menerapkan budaya pembelajaran berterusan, malah membantu syarikat meningkatkan daya saing yang pastinya memberikan manfaat kepada negara.

“Penduduk tempatan akan lebih berminat untuk mendapatkan pekerjaan formal apabila dasar gaji progresif membolehkan mereka menerima gaji lebih tinggi selepas menjalani latihan peningkatan kemahiran,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Dr.Zunika, Kerajaan sedang mengkaji model paling bersesuaian untuk dilaksanakan dasar gaji progresif ini sama ada secara wajib dengan perundangan khusus atau secara sukarela.

Sekiranya secara sukarela, kata beliau, insentif akan disediakan kepada majikan yang layak bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan, sekali gus dijangka dapat menarik penyertaan majikan dan menjadikan sesuatu pekerjaan itu lebih menarik dalam kalangan penduduk tempatan.

Beliau menjelaskan, dasar gaji progresif ini bukan untuk sektor tertentu sebagaimana dilaksanakan di Singapura kerana pelaksanaan secara sukarela dengan insentif tertentu membolehkan semua majikan dalam pelbagai sektor dan saiz akan ditawarkan.

“Bagi mendapatkan impak yang bermakna dalam merubah sistem penggajian dan peningkatan produktiviti, pelaksanaannya perlu menyeluruh.

KEBEBASAN

“Sekiranya ia dihadkan kepada sektor tertentu sahaja, pekerja tidak mempunyai kebebasan untuk menukar pekerjaan dengan kemahiran mereka yang semakin meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Zunika berkata, pengenalan dasar ini sama sekali tidak menjejaskan pelaksanaan gaji minimum yang khusus untuk membantu meningkatkan kadar gaji pekerja berpendapatan rendah dan pekerja baharu.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak membantu dalam meningkatkan gaji pekerja lama, malah menyebabkan jurang gaji antara pekerja lama dan baharu semakin mengecil, selain tidak berupaya meningkatkan gaji permulaan graduan.

“Gaji permulaan bagi graduan yang baru menceburi alam pekerjaan kekal pada kadar sama sejak 10 hingga 15 tahun yang lalu.

“Gaji penengah pekerja hanya mencatatkan RM2,250 sebulan pada tahun 2021 dan kadar ini masih rendah jika dibandingkan dengan sasaran untuk mencapai RM2,900 pada tahun 2025 sebagaimana ditetapkan Rancangan Malaysia Kedua Belas.

“Kadar kenaikan gaji yang lebih tinggi membolehkan rakyat meningkatkan taraf kehidupan dan mengecilkan jurang ketidaksamarataan pendapatan serta meningkatkan mobiliti sosial,” katanya.

Dr. Zunika menjelaskan, berdasarkan beberapa sesi libat urus yang dilaksanakan Kementerian Ekonomi, majoriti majikan menyambut baik pelaksanaan dasar itu dan bersetuju dengan insentif tunai yang disediakan Kerajaan untuk mereka mengambil bahagian.

Ia membolehkan para majikan menilai terlebih dahulu kemampuan syarikat sebelum mengambil bahagian sekiranya pelaksanaan dasar ini adalah secara sukarela.

Katanya, pihak Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia akan terus mengadakan sesi libat urus bukan sahaja bersama majikan, malah golongan pekerja bagi memberikan penerangan dan mendapatkan pandangan mengenai pelaksanaan dasar gaji progresif.

“Pelaksanaan dasar ini tidak akan menjejaskan usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi, malah menyumbang ke arah mencapai matlamat tesebut.

“Pada masa sama, ia membantu Kerajaan menstruktur ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di Asia sejajar dengan kerangka Ekonomi Madani, selain menyokong anjakan reformasi pasaran pekerja dan membolehkan matlamat pengagihan pendapatan lebih saksama dan inklusif dapat dicapai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya