SEREMBAN: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan kerjasama gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah signifikan selepas DAP berjaya memperoleh sokongan majoriti pengundi Melayu.
Anthony Loke berkata, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah yang ditandinginya berjaya memperoleh sebanyak 5,888 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 2,200 undi iaitu lebih tinggi daripada pilihan raya pada 2018.
“Kami (DAP) berasa gembira dapat mempertahankan semua kerusi yang dimenangi dahulu, kerusi mencabar merupakan kerusi campuran terutamanya DUN Chennah.
“Ada ramai pengundi Melayu dan juga Orang Asli, itu satu keputusan yang signifikan kita rasakan bahawa pentingnya dalam menguatkan lagi kesepakatan ini supaya kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan ini dapat memberikan satu kestabilan politik kepada negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pengumuman keputusan BN-PH sempena PRN Negeri Sembilan di sini hari ini.
Jelas Anthony Loke lagi, beliau juga memperoleh peningkatan majoriti tinggi menerusi sampel di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Chennah dengan kemenangan lebih 50 peratus undi di kampung yang 100 peratus terdiri daripada orang Melayu.
“Ini menunjukkan peratusan undi yang memberansangkan seperti yang saya katakan calon DAP dari dulu tidak pernah memecah lebih 30 peratus undi Melayu dan DUN Chennah saya jangkakan sokongan pengundi Melayu yang lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yakin kerjasama BN dan PH akan mewujudkan sebuah Kerajaan Perpaduan yang kuat dan dengan adanya ramai tokoh berpengalaman.
“Ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mempunyai banyak pengalaman dalam dewan, dapat berkhidmat menyumbang tenaga ke arah kesejahteraan rakyat,” katanya.-UTUSAN.