Dakwaan orang Melayu tidak bersama Kerajaan Perpaduan analisa songsang - Khalid

Dakwaan orang Melayu tidak bersama Kerajaan Perpaduan analisa songsang – Khalid

KHALID Abdul Samad (tengah) membincangkan Analisa keputusan PRN bersama wakil rakyat DUN Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim (tiga dari kanan) dan jenteranya di Pejabat Amanah Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan dakwaan orang Melayu tidak lagi bersama gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dengan hanya berpandukan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam kelmarin sebagai ‘analisa songsang’.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, analisa sebegitu tidak terpakai kerana hanya memberi fokus kepada enam negeri dengan tiga negeri diketahui merupakan kubu kuat Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, analisa berkenaan tidak mengambil kira sokongan orang Melayu di negeri-negeri lain seperti Perak, Melaka, Pahang, Johor serta sokongan kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

“Untuk mendakwa orang Melayu tidak bersama Kerajaan Perpaduan berdasarkan keputusan enam PRN itu adalah ‘analisa songsang’. Walaupun di Selangor kita lihat keputusan yang memeranjatkan tetapi di Negeri Sembilan masih kukuh.

“Ia menunjukkan masih ramai orang Melayu bersama Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Amanah Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Khalid memberitahu, keputusan enam PRN itu juga tidak sepatutnya dijadikan sebab untuk segelintir ahli BN menuntut pengerusinya yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan.

Katanya, tuntutan sebegitu tidak boleh dibuat berdasarkan keputusan di enam negeri tersebut sahaja tetapi perlu melihat kepada keseluruhan negara kerana mungkin di negeri-negeri lain sokongan kepada BN masih mantap.

“Jadi sebaiknya kita tunggu dan lihat sehinggalah ke Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU 16) nanti, barulah kita buat satu analisa yang lebih mantap. Sebelum itu konsep dan fahaman politik yang wajib bagi umat Islam perlu kita perjelaskan.

“Soal pembangunan merupakan satu kewajipan ke atas kerajaan dan kalau tidak ditunaikan sememangnya pemerintah itu perlu diganti sama ada parti itu membawa nama Islam atau tidak,” tegasnya.

Khalid berkata, gabungan kerjasama PH-BN masih lagi baharu dan PRN kelmarin merupakan ujian sulung buat mereka selepas tertubuhnya Kerajaan Perpaduan.

“Masih ramai tidak menjiwai gandingan ini sepenuhnya dan mungkin apa yang disuarakan oleh Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad merupakan salah satu contoh.

“Jelasnya gandingan ini perlu diperbaiki dan dipertingkatkan. Hakikatnya hubungan kerjasama PH-BN ini merupakan satu bentuk kerjasama jujur untuk jangkamasa panjang. Ia bukan ‘shotgun marriage’ atau ‘marriage of convenience’ untuk PRN semata-mata,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan kejayaan PN mempertahankan Kelantan, Terengganu dan Kedah selain merampas sejumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan membuktikan sokongan pengundi Melayu kepada parti itu.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kejayaan besar PN meraih sokongan pengundi Melayu menandakan parti itu kini menjadi wadah politik kaum berkenaan sekali gus menunjukkan UMNO tidak lagi relevan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya