SEREMBAN: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Ahmad Raihan Muhamad Hilal, 34, mengakui menerima sambutan amat baik dalam kalangan pengundi muda setakat tempoh berkempen yang berlangsung ketika ini.
Anak jati Sikamat itu menambah, situasi tersebut memberikan motivasi dan keyakinan tambahan buatnya bagi bersaing dengan calon lain di kerusi tersebut termasuk penyandang yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Alhamdulillah sekarang, penerimaan penduduk memang sangat baik Sikamat, mungkin salah satu sebab kerana mereka sudah mengenali saya malah sebelum berpolitik lagi, saya anak jati di sini.
“Memang lawan saya bukan mudah, tetapi dengan apa yang ada pada saya, iaitu saya lahir di sini membesar dengan komuniti di sini di samping bekerja kuat, ia akan bawa kemenangan buat saya untuk lawan Menteri Besar di Sikamat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Seremban itu memberitahu, isu ekonomi dihadapi generasi muda antara paling banyak yang diterimanya daripada orang ramai sepanjang berkempen.
“Ia berkenaan pekerjaan dalam kalangan orang muda, kena banyakkan peluang perniagaan, itu antara perkara yang boleh diberikan fokus.
“Selain itu, dalam hal kebajikan, bantuan-bantuan perlu diselaraskan kembali, ramai tidak tahu bagaimana mahu mohon, mereka kata prosesnya sukar jadi kita kena lihat semula mengenainya,” katanya lagi.
Selain Aminuddin yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Ahmad Raihan turut disaingi dua calon Bebas iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin.
Aminuddin menang di kerusi Sikamat sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada tahun 2008 dan pada PRU Ke-14 beliau menang dengan majoriti sebanyak 3,413 undi menewaskan tiga calon lain.
Terdapat seramai 32,343 pengundi berdaftar di DUN Sikamat ketika ini.-UTUSAN.