JELEBU: UMNO Negeri Sembilan menegaskan kepentingan ketika ini adalah memastikan gabungan parti Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) untuk memenangi kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, dalam soal pemilihan calon Menteri Besar, pihaknya menyerahkan kepada pucuk kepemimpinan kedua-dua parti untuk membuat keputusan.
“Sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, saya tidak mempunyai sebarang masalah dan bersedia dengan apa juga keputusan yang akan diputuskan di peringkat kepemimpinan tinggi. Insya-Allah apa yang paling penting adalah memang semua 36 kerusi untuk dimenangi Kerajaan Perpaduan.
“Soal yang berkaitan dengan kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan itu bukan satu perkara yang perlu untuk dibincang atau perlu dikatakan sebagai permohonan dan permintaan daripada kedua-dua parti.
“Pada saya itu adalah ketentuan yang akan ditentukan oleh Presiden kedua-dua parti BN dan PH selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti kerana perkara itu harus melalui perbincangan dan keputusan itu harus dibuat oleh pimpinan tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Bersama Masyarakat Cina di Pekan Pertang di sini semalam.
Yang hadir sama dalam program tersebut, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Mengulas lagi, Jalaluddin yang juga calon BN di kerusi DUN Pertang berkata, beliau juga telah berkali-kali mengulangi pendirian bahawa tugasnya adalah untuk memenangkan kesemua kerusi yang ditandingi oleh gabungan parti dibawah Kerajaan Perpaduan.
“Saya sudah berkali-kali menyatakan pendirian bahawa tugas saya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri adalah berusaha sebaik mungkin untuk memenangkan kesemua kerusi yang ditandingi oleh BN iaitu 17 dan 16 kerusi yang ditandingi oleh PH supaya di Negeri Sembilan dapat kita pertahankan rekod sifar pembangkang,” katanya.-UTUSAN.