JELEBU: Sebuah kawasan rehat dan rawat (R&R) dicadang untuk dibina di kawasan Klawang sebagai lokasi persinggahan pelancong dan pengunjung ke daerah ini yang semakin meningkat.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang yang juga penyandang kerusi itu, Datuk Bakri Sawir berkata, sebidang tanah seluas empat hektar yang terletak di Kampung Kemin di sini telah diluluskan oleh Majlis Daerah Jelebu bagi tujuan tersebut.
“Jalan ke daerah ini sudah popular dengan kehadiran peminat aktiviti berbasikal dan yang menaiki motosikal. Oleh itu, menjadi hasrat untuk diwujudkan sebuah R&R yang turut dapat membuka peluang perniagaan kepada penduduk setempat.
“Terdapat satu bidang tanah seluas satu hektar yang dalam perancangan untuk dibina sebuah hotel bajet bagi kemudahan orang ramai yang turut menjadikan Jelebu sebagai laluan ke Pahang dan sebaliknya, ini adalah pelan dan perancangan awal,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kempen bertemu penduduk di Taman Cempedak di sini hari ini.
Menurut Bakri, sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, beliau akan membuat permohonan kepada kementerian terlibat bagi merealisasikan hasrat itu.
“Saya berharap selepas PRN ini ia dapat dibentangkan dan kemungkinan memohon dalam Belanjawan akan datang,” katanya.
Sementara itu, mengenai lokasi perkelahan popular Taman Eko Rimba Jeram Toi yang kini masih lagi ditutup daripada kunjungan orang ramai, beliau memberitahu ia akan kembali dibuka selepas kerja-kerja membaiki kawasan itu telah siap.
“Selepas peruntukan diluluskan, kerja-kerja untuk memastikan laluan di Jeram Toi itu dalam keadaan baik harus dilaksanakan. Saya sudah meminta Jabatan Perhutanan agar menutup dahulu kawasan tersebut atas faktor keselamatan.
“Saya harap selepas siap sepenuhnya nanti ia akan menarik semula pelancong ke Jeram Toi yang amat popular satu ketika dahulu,” katanya lagi.
Kawasan perkelahan Jeram Toi musnah sama sekali dalam kejadian hujan lebat berterusan dan banjir besar yang berlaku iaitu pada pertengahan bulan Disember 2021.-UTUSAN.