Buruh bebas dari tuduhan edar methamphetamine seberat

Buruh bebas dari tuduhan edar methamphetamine seberat 1.38 kg

WAN Mohd. Azrul Che Hussain (dua dari kiri) dibebaskan atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.38 kilogram di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang buruh menarik nafas lega selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya atas  pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.38 kilogram, dua tahun lalu. 

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh, Wan Mohd. Azrul Che Hussain, 34, di akhir kes pendakwaan.

“Setelah meneliti keterangan yang dikemukakan pihak pendakwaan, mahkamah mendapati pihak terbabit gagal membuktikan beg yang mengandungi dadah berada di bawah milikan tertuduh.

“Pihak pendakwa raya juga gagal membuktikan tertuduh mempunyai akses di sebuah rumah apartmen di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu. Ketika itu, tertuduh berada di rumah keluarganya di Bachok. Berdasarkan fakta tersebut, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh tanpa perlu membela diri,” katanya. 

Mengikut pertuduhan, Wan Mohd. Azrul  didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 1,388.28 gram. 

Kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah apartmen di Jalan Sri Cemerlang di sini kira-kira pukul 1.10 petang pada 5 Mei 2021.

Tertuduh didakwa mengikut seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Seksyen tersebut turut memperuntukkan, sekiranya tertuduh tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dipenjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd. Arshad manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent dan Revin Kumar.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya