KUANTAN: Ibu bapa perlu mendidik anak-anak sejak dari kecil supaya membeli dan menggantung bendera Jalur Gemilang di rumah terutama ketika tiba bulan kemerdekaan.
Budaya ini perlu disemai supaya ia tidak pupus ditelan zaman terutama dalam kalangan generasi muda pada ketika ini yang dilihat hanya mengharapkan bendera percuma.
Penaung Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi, Daz Bikers, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, ketika ini, masih terdapat rakyat yang perlu disuruh memasang Jalur Gemilang setiap kali bulan kemerdekaan walaupun bendera diberikan percuma.
“Dalam kalangan orang muda pada ketika ini, semangat patriotisme itu masih wujud tapi makin luntur. Ia tidak sama dengan masyarakat muda zaman 40 atau 50 tahun dulu.
“Masyarakat dulu sering dikaitkan dengan perarakan bendera dan menghadiri upacara rasmi kemerdekaan yang memberikan semangat berbeza. Pasang bendera pun tidak perlu disuruh dan tidak harap bendera percuma,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, program pengisian bulan kemerdekaan perlu dinilai semula keberkesanannya oleh kerajaan kerana ia dilihat gagal memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat di negara ini.
Beliau berkata, walaupun didenda, masih terdapat premis perniagaan tidak memasang Jalur Gemilang dan ia bukan perkara baharu sebaliknya berlarutan sejak 10 tahun lalu.
“Yang pasang Jalur Gemilang hanya agensi-agensi kerajaan misalnya Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), jika tidak sendulah bandar Kuantan tanpa kibaran bendera,” katanya.
Menurutnya, program pengisian kemerdekaan perlu dipupuk dalam diri seseorang bermula dari kecil lagi dan perlu berterusan agar jiwa rakyat sebati dengan perasaan itu.
“Ia boleh dilaksanakan menerusi forum dan seminar penghayatan kemerdekaan yang perlu diadakan setiap masa supaya semangat patriotisme sentiasa menebal dalam jiwa rakyat,” katanya.
Beliau berkata, generasi muda perlu terus diberikan kesedaran bahawa keamanan dan kesejahteraan negara bukan percuma sebaliknya perlu dibayar dengan harga mahal melalui peluh keringat, darah serta nyawa pejuang negara terdahulu termasuk anggota pasukan keselamatan.
“Untuk menggilap semangat patriotik, ibu bapa dan institusi pendidikan perlu memainkan peranan cukup penting dalam memupuk generasi muda agar cintakan negara.
“Rasa cintakan tanah air dan patriotisme harus dipupuk dari peringkat awal bermula di rumah, alam persekolahan dan di institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.
Beliau berkata, pendidikan awal di rumah menjadi teras utama dalam mendidik dan memupuk semangat patriotisme dalam jiwa anak.
“Keluarga dan golongan pendidik serta semua pihak berkepentingan harus berusaha keras memastikan kelangsungan toleransi antara kaum dan agama yang sedia ada dapat dikekalkan,” katanya. – UTUSAN