JERANTUT: Berbeza parti politik tidak menghalang dua pemimpin iaitu Ketua Bahagian UMNO Jerantut, Haris Salleh Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar dari Pas, Yohanis Ahmad untuk bersama-sama memasak dan mengacau bubur asyura di Masjid Ubudiah, Jengka 8 di sini.
Kelazimannya sebelum ini dalam program kemasyarakatan dan keagamaan, dua pemimpin itu kerap bertemu apabila menerima undangan penduduk atau penganjur dan tidak menunjukkan sebarang perbezaan yang keduanya berlainan parti politik.
Menurut Haris Salleh, Yohanis sahabat baiknya yang dikenali sejak beliau menjadi ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut dan kerap bertemu di majlis rakyat termasuk program ‘outreach’ kebajikan penduduk yang memerlukan.
“Bagi saya di Jerantut ini, kita mengamalkan politik secara sihat dan bekerjasama dalam apa juga perkara termasuk bertukar pendapat demi kepentingan rakyat di kawasan ini.
“Soal perbezaan dalam politik itu kena tolak tepi. Masing-masing ada perjuangan sendiri dan tanggungjawab menjurus kepada kepentingan rakyat dan pembangunan,” katanya di Felda Jengka 8 di sini hari ini.
Haris Salleh berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang memasuki tempo hangat berkempen ketika ini tidak menempias ke kawasan Jerantut lantaran bagi beliau dan Yohanis sentiasa terus bekerjasama dengan erat.
“Saya lihat majlis (asyura) ini dan sebelum ini di beberapa kawasan Pulau Tawar termasuk tempat lain penduduk saling bekerjasama erat bergotong-royong dan meriah tidak langsung menampakkan perbezaan fahaman politik,” katanya.
Yohanis pula berkata, kepentingan rakyat perlu diutamakan dan sebagai pemimpin perlu meneladani perkara yang baik, jujur dan ikhlas.
“Boleh dikatakan kami berdua kerap bertemu dalam semua majlis anjuran penduduk di Pulau Tawar malah kawasan lain di daerah ini.
“Kita sering beramah mesra dan bertukar pendapat untuk kepentingan penduduk Pulau Tawar yang sangat memerlukan perhatian kebajikan dan pembangunan,” katanya.
Yohanis berkata, dia baharu sahaja pulang dari berkempen PRN di Semenyih, Selangor dan terus menghadiri majlis asyura yang cukup meriah dan bermakna ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Jengka 8, Shahrin Othman berkata, sebanyak 22 kawah bubur asyura dimasak secara bergotong-royong oleh ahli kariah masjid itu yang turut disertai Badan Masjid Ubudiah, ahli Majlis Belia Felda Malaysia, Kawasan Rukun Tetangga dan Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF).
Ujarnya, majlis itu turut diwarnai aktiviti pertandingan hiasan hidangan bubur ayura dan lebih bermakna dengan kehadiran kedua pemimpin dari UMNO dan Pas Jerantut. – UTUSAN